Meninggal tapi terima bantuan

0

Waris gagal lapor kematian penerima BOT, BA akan diminta bayar balik jumlah diberi JKM

KUCHING: Waris penerima yang gagal melaporkan kematian penerima Bantuan Orang Tua (BOT) dan Bantuan Am (BA) akan diminta membayar balik jumlah bayaran yang telah diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah memberitahu perkara itu kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berhubung penerimaan BOT dan BA di sini semalam.

“Seramai 1,530 penerima telah mendapat bantuan BOT dan BA tahun lalu dan daripada jumlah itu terdapat 1,119 daripada penerima yang meninggal dunia tetapi masih menerima bantuan.

“Pihak kami telah bersepakat untuk mengkaji semula bantuan yang telah diberikan kepada penerima (411 orang) yang telah tamat tempohnya dan berkemungkinan untuk memberikan kepada penerima lain yang berkelayakan,” jelas Fatimah semalam.

JKM akan bekerjasama erat dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menyemak status kematian dan pekerja kes kementerian akan turun padang bagi mengadakan lawatan lapangan untuk menyelidik, ujarnya.

Kementerian telah memperbaharui undang-undang di mana dalam tempoh tiga bulan sebelum tamat tempoh, pihaknya akan mengeluarkan surat pekeliling untuk mengingatkan penerima dan pewaris bantuan.

Sementara itu, selain BOT dan BA pihaknya turut memberi Bantuan Kanak-Kanak (BKK), Elaun Pekerja Cacat (EPC), Bantuan Penjagaan Pesakit Terlantar (BPT), Bantuan OKU Tidak Bekerja (BTB) dan Bantuan Anak Pelihara (BAP).

Bagaimanapun, JKM Sarawak akan menghentikan bantuan sekiranya terdapat kematian, pendapatan isi rumah melebihi pendapatan garis kemiskinan (PGK) semasa, mendapat sokongan dan bantuan ahli keluarga lain, masih muda atau sihat dan mampu bekerja serta pulih daripada penyakit.

“Ini juga termasuk tamat tempoh, maklumat palsu setelah di kaji semula, berpindah, berkahwin semula, mendapat bantuan daripada agensi seperti Baitulmal, SOCSO atau pencen serta anak tanggungan melebihi 18 tahun,” katanya.

Cek berjumlah RM99,632,892 telah diberikan oleh kerajaan persekutuan untuk menguruskan hal ehwal JKM Sarawak dan menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan baru-baru ini.

Sementara itu Fatimah enggan memberi komen lanjut mengenai penerima bantuan Nuci Suhai,78, dari Matang yang dikatakan dihentikan bantuannya oleh JKM.

“Itu disebabkan kesilapan teknikal dan kami telah menghantar beberapa pegawai untuk menjalankan siasatan terperinci mengenainya,” katanya kepada pemberita semalam.

Turut sama menemani beliau adalah Pengarah JKM Sarawak Noriah Ahmad.