Rakyat beruntung miliki kerajaan mampu mentadbir urus kewangan dengan baik

0

MIRI: Rakyat Malaysia sangat beruntung mempunyai sebuah kerajaan yang mampu mentadbir urus kewangan dengan baik berbanding negara-negara Eropah umpamanya yang kini menghadapi krisis ekonomi yang sangat kritikal.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata, Malaysia antara sebuah negara yang mempunyai sistem pengurusan kerajaan yang terbaik berikutan kemampuan negara menghadapi krisis ekonomi pada 2008.

“Rakyat seluruh negara ketika ini sedang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan ia jelas menunjukkan kerajaan berkemampuan mentadbir urus kewangan dengan baik bahkan menyediakan peruntukan untuk meringankan beban rakyat,” katanya ketika ditemui semalam.

Lee yang juga Menteri Muda Sukan memberitahu, dakwaan Malaysia akan muflis menjelang 2019 adalah tidak berasas dan pembangkang sengaja mencari alasan untuk menghentam kerajaan seterusnya kenyataan itu membuat rakyat panik.

“Pembangkang ketika ini menggigil dan takut berikutan sokongan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) semakin bertambah kukuh dan atas alasan itu, mereka mencari alasan untuk membuat rakyat panik dengan kenyataan sedemikian,” jelasnya.

Menurutnya, pembangkang yang bertanggungjawab kepada kebajikan rakyat seharusnya menyokong usaha murni kerajaan BN dalam usaha meringankan beban rakyat dan bukannya memutar belit fakta yang sahih.

“Rakyat sendiri tahu menilai kerajaan mana yang baik untuk mereka namun bagi kerajaan BN, selagi rakyat terus memberi mandat dan kepercayaan, maka kerajaan akan terus menyalurkan bantuan kepada rakyat secara berterusan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Lee memberitahu bahawa calon yang diletakkan untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Miri pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak mestilah berpotensi untuk menang dan bukan hanya sekadar popular di kalangan parti.

“Sekiranya calon terbabit hanya popular di kalangan parti tetapi tidak popular di kalangan rakyat maka ia tidak memberi apa-apa makna.

“Sehubungan itu, calon terbabit perlu dikenali oleh rakyat tempatan dan berpotensi untuk menang,” katanya.

Sebagai contoh katanya, calon Bebas turut menang dalam pilihan raya lalu meskipun tidak mempunyai parti disebabkan calon berkenaan dikenali dan popular di kalangan rakyat setempat.

Timbalan Perdana Menteri kelmarin memberitahu parti komponen BN ketika ini masih dalam peringkat mengenal pasti calon-calon berpotensi dan faktor calon amat penting kerana ia merupakan fokus utama pemilih dalam pilihan raya.

Lee turut meluangkan masa bersama Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Sebastian Ting pada majlis pengagihan bantuan BR1M di Dewan Suarah Miri semalam.