Kerajaan tidak mahu golongan susah dan kurang berkemampuan terus ditimpa masalah

1

TIDAK DIABAI: Jacob (enam kanan) bersama penerima wang bantuan kecemasan daripada beliau.

MARUDI: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mahu melihat rakyatnya terutama golongan susah dan kurang berkemampuan terus ditimpa masalah hingga sukar untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

Justeru bagi meringankan beban yang ditanggung oleh golongan ini, pelbagai bantuan telah diwujudkan oleh kerajaan dengan harapan dapat membantu rakyat dan pada masa yang sama melihat rakyat terus bersatu dan menyokong kerajaan BN.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jacob Dungau Sagan ketika berucap di Majlis Randau Bersama Penduduk di Raumah Nanang Duyun, di Sungai Tudan, Ujung Daun, dalam kawasan hilir Baram, turut menggesa masyarakat di kawasan Baram sama ada di hilir, tengah atau hulu, supaya terus bersatu dalam satu komuniti serta memberi kerjasama penuh kepada kerajaan agar bantuan dan pembangunan dapat disalur dengan mudah.

Majlis tersebut diadakan sempena lawatan beliau ke rumah panjang 34 pintu itu yang ditimpa masalah tanah runtuh pada tahun lalu.

Sempena lawatan tersebut, Jacob turut menyampaikan bantuan kecemasan daripada beliau kepada penduduk di sana dengan jumlah RM500 bagi setiap keluarga, yang kesemuanya membabitkan jumlah RM18,000.

Mengenai program pembangunan oleh kerajaan di Baram, Jacob meminta rakyat di situ memberi sokongan dan memanfaatkan sepenuhnya pembangunan dirancang seperti Klinik Bergerak 1Malaysia yang pertama kalinya diwujudkan di negara ini.

Selain itu katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga amat menumpukan dasar pembangunan lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar, dengan menyediakan pembangunan infrastruktur yang baik dan selesa.

“Selain itu kerajaan pimpinan beliau (Najib) turut memberi tumpuan sewajarnya kepada masalah orang kurang upaya (OKU) di samping masalah kemiskinan. Masalah ini (kemiskinan) akan diselesaikan bersama agar yang berat menjadi ringan dan rakyat yang malang mampu gembira serta tersenyum ceria menerima pelbagai bantuan dan manfaat,” tambahnya.

Mengenai pembinaan jalan raya Miri-Marudi, Jacob memberitahu, setakat ini sudah 18 kilometer jalan tersebut diturap dan akan siap sepenuhnya pada Februari 2013 kelak.

Apabila siap nanti, pengguna hanya akan menggunakan sebuah buah feri sahaja iaitu yang menyeberangi Sungai Arang manakala yang lain akan dibina dengan jambatan.

Begitu juga jalan akses ke rumah panjang, kerajaan pusat telah memperuntukkan sejumlah RM500 juta untuk pembinaannya.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Pegawai Tadbir Jeffery Jalong dan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak, David Belulok, ketua-ketua masyarakat dan tuai-tuai rumah panjang di sekitarnya.