Tuesday, November 12

Pembangkang diingat jangan politikkan BR1M

0

Ia tidak adil kerana kerajaan ikhlas membantu rakyat berpendapatan rendah: Wong

KUCHING: Pembangkang diingat untuk tidak mempolitikkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Menurut Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, tindakan itu tidak adil kerana kerajaan ikhlas dalam membantu rakyat yang berpendapatan rendah.

“Pemberian bantuan RM500 ini menunjukkan keprihatinan dan keikhlasan kerajaan BN (Barisan Nasional) untuk membantu rakyat yang berpendapatan rendah dan bukan gimik pilihan raya seperti yang dituduh oleh pihak pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Baucar BR1M bagi kawasan Parlimen Bandar Kuching, di Dewan Suarah Kuching di sini, semalam.

Hadir sama, Residen Kuching Abdul Rahman Sebli Senusi dan Pegawai Daerah Kuching Mahri Sarpawi.

Majlis menyaksikan hampir 600 penduduk kawasan Pending menerima bantuan tersebut.

Wong turut melahirkan harapan agar skim itu mampu meringankan beban keluarga, terutamanya warga tua dan golongan berpendapatan rendah.

Beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa tempoh permohonan dilanjutkan sehingga 10 Februari.

“Bagi memastikan semua rakyat yang layak tidak ketinggalan daripada menerima bantuan ini, kerajaan melanjutkan tarikh menghantar borang permohonan kepada 10 Februari,” katanya.