Mantapkan wushu

0

Skuad Sukma dapat sentuhan jurulatih dari China

SELAMAT DATANG: Francis menyampaikan jaket sukan kepada Zhong sebagai tanda penghargaan sambil disaksikan oleh Penyelaras Wushu MSNS Thomas Chia (kanan) dan Setiausaha WFS James Ting.

KUCHING: Skuad wushu Sukma Sarawak kini mendapatkan khidmat jurulatih baharu dari China, Zhong Xiao bagi memantapkan persediaan menghadapi Sukma ke-15 di Pahang pada Jun depan.

Zhong, 38, tiba di Kuching pada Isnin lepas dan diperkenalkan kepada Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Francis Nyurang Ding, semalam.

Jurulatih berasal dari Quangxi itu juga memulakan tugas rasminya semalam dengan membantu Ketua Jurulatih, Huang Shao Xiong.

“Kami mengambil Zhong bagi memenuhi permintaan Persekutuan Tarian Wushu Naga dan Singa Sarawak (WFS). Ini penting kerana kita memerlukan lebih ramai jurulatih asing,” kata Francis.

Francis berharap Zhong akan dapat berkongsi kepakaran dan pengetahuannya dengan jurulatih tempatan.

Zhong merupakan ahli pasukan Wushu Quangxi pada tahun 1985 dan berkelulusan dari Sekolah Sukan Quangxi pada tahun 1998.

Pada Kejohanan Wushu Junior Kebangsaan China tahun 1988, beliau merangkul kejuaraan menerusi kategori senjata pendek dan naib juara ‘taijiquan.’

Tahun 1988, Zhong turut memenangi emas dalam acara ‘taijiquan’ dan perak dalam ‘jianshu’ dan ‘tunbeiquan.’

Beliau dianugerahkan sebagai Wu Yin Zhi Wushu China pada tahun 1990.

Zhong juga pernah merangkul tempat kedua dalam ‘taijiquan Yang Tze’ dan tempat ketiga dalam ‘taijian’ semasa Kejohanan Kebangsaan Tajiquan China pada 1994.

Beliau juga pernah menjadi jurulatih di Institut Wushu Shanghai Qinpo dari tahun 2002 hingga 2005.