JAKARTA: Di tengah-tengah kontroversi Liga Super Indonesia (ISL) berkemungkinan dikenakan tindakan oleh FIFA, striker Malaysia Safee Sali semalam secara rasmi menyambung kontraknya selama dua tahun lagi dengan kelab bola sepak Pelita Jaya FC, Jakarta, satu dariapda kelab yang menyertai ISL.
Kontrak dua tahun itu menawarkan pakej bernilai lebih RM2 juta termasuk pelbagai kemudahan seperti bonus tetap perlawanan, rumah, kenderaan, pemandu peribadi, cukai yang dibayar oleh kelab, tiket pergi balik ke Kuala Lumpur yang disediakan oleh Kelab dan penghormatan sebagai Ketua Pasukan Pelita Jaya FC.
Nilai kontrak baharu itu adalah kira-kira sekali ganda nilai tahunan secara perbandingan dengan kontrak satu tahun beliau bersama kelab bola sepak itu, yang berakhir 31 Jan.
Pengumunan mengenai penyambungan kontrak Safee di buat oleh Pelita Jaya FC di sini Rabu, yang dihadiri Pengurus Besar Pasukan Iwan Budianto, Pengurus Pasukan Lalu Mara dan Safee sendiri.
Pengurus Safee, Zakaria Rahim, berkata dalam kontrak baharu Safee juga akan menerima pakej tambahan ‘image rights’ di mana pihak kelab akan mengusahakan untuk Safee mendapat ‘commercial endorsement’ bagi pelbagai produk di seluruh Indonesia daripada syarikat-syarikat yang memerlukan imej Safee bagi tujuan pengiklanan dan pemasaran.
Safee juga akan diberi peluang bermain dengan mana-mana kelab milik penuh Pelita Jaya Cronus apabila ada peluang dan sesuai dengan tempoh pendaftaran yang ditetapkan oleh liga di negara-negara berkenaan. — Bernama