47,000 pasport TKI sudah siap

0

WR Hendro

TAWAU: Sekitar 47,000 dokumen pasport bagi Tenaga Kerja Indonesia (TKI) yang berdaftar di dalam Program 5P (Pendaftaran, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran) di Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak telah disiapkan.

Menurut Konsul Jenderal Republik Indonesia Cawangan Tawau, WR Hendro, program itu yang berakhir pada minggu lalu telah menunjukkan perkembangan baik dan kini hanya terdapat lebih-kurang 1,000 permohonan lagi yang masih dalam proses akhir.

“Fasa terakhir Program 5P ini berlangsung dalam keadaan baik dan kesemua dokumen yang telah disiapkan juga telah diserahkan kepada pihak majikan ataupun agensi pekerjaan (agen) terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini kelmarin.

Hendro berkata, perkembangan terbaru itu juga kini menjadikan terdapat kira-kira 200,000 TKI bekerja dengan memiliki pasport sebagai dokumen pengenalan diri yang sah di Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak.

Menyentuh warga Indonesia yang bekerja di sini namun tidak berpeluang mendaftar dalam Program 5P itu pula, beliau berharap pihak penguatkuasa dapat memberikan kelonggaran kepada mereka untuk pulang ke negara asal secara sukarela.

Ketika ditanya berhubung nasib segelintir pekerja TKI yang menyertai Program Pemutihan pada tahun 2008 lalu namun tidak pernah memegang pasport mereka sendiri sehingga kontrak kerja mereka ditamatkan, beliau bersimpati dengan nasib pekerja yang terbabit.

“Kita sedar masalah ini juga berlaku, justeru kita amat mengharapkan agar pihak majikan dapat memberikan pasport kepada pekerja masing-masing sekiranya ada di antara mereka yang mahu pulang bercuti ke Indonesia.

“Jika pihak majikan mencurigai kesetiaan pekerja mereka, kita cadangkan agar pihak majikan meletakkan syarat agar pekerja membayar sejumlah deposit kepada majikan sebagai cagaran ataupun mewajibkan dua penjamin ke atas permohonan cuti pekerja,” katanya.

Dalam masa sama, Hendro meminta pihak majikan agar memperlakukan TKI di negeri ini dengan seadil-adilnya dan secara profesional demi memastikan hubungan baik di antara pihak majikan dan pekerja terus terpelihara.

Tambahnya, pihak majikan juga perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam segala hal pembayaran deposit, visa, pas dan levi pekerja mereka demi memastikan soal kebajikan pekerja sentiasa dijaga selaras dengan tatacara permohonan mendapatkan pekerja asing.

“Kita juga berharap agar pihak majikan meletakkan soal kebajikan, gaji dan perkhidmatan pekerja mereka berada dalam situasi profesional serta mampu menciptakan suasana kerja yang kondusif dan ‘situasi menang-menang’ di perusahaan masing-masing,” katanya.