Wednesday, July 24

SMK Sacred Heart ungguli skuasy MSS Sibu

0

JUARA: Lim (kiri) menyampaikan piala kepada guru pengiring SMK Sacred Heart di Sibu semalam.

SIBU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart muncul juara keseluruhan pada Kejohanan Skuasy Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Sibu 2012 dengan memenangi tiga kategori yang dipertandingkan.

Dalam kejohanan yang berakhir semalam di Gelanggang Skuasy Lau Swee Nguong, SMK Sacred Heart muncul johan bagi kategori lelaki bawah 15 tahun serta lelaki dan perempuan bawah 18 tahun.

Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tung Hua pula mengungguli kategori lelaki bawah 12 tahun dan SJK Methodist pula johan bagi kategori perempuan bawah 12 tahun sementara SMK St Elizabeth mengungguli kategori perempuan bawah 15 tahun.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Unit Sumber Manusia Pejabat Pelajaran Daerah Sibu, Lim Chun Len.

Turut hadir ialah Pengetua SMK Sacred Heart, Stephen Tan dan Penolong Kanan Kokurikulum SMK Sacred Heart, Lau Tiew Kiong.