Monday, November 18

SMK Saratok kuasa badminton di Betong

0

BUKTIKAN KEHEBATAN: Pemain-pemain SMK Saratok meraikan kejayaan mereka bergelar juara.

SARATOK: Kehebatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saratok terserlah lagi apabila muncul sebagai juara keseluruhan dalam Kejohanan Badminton Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Bahagian Betong pada Khamis lepas.

Pertandingan dua hari yang berlangsung di Dewan Badminton Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Menengah Vokasional Betong itu disertai lapan buah sekolah iaitu SMK Spaoh, SMK ST Augustine, SMK Saribas, SMK Saratok, SMK BM Saratok, SM Vokasional Betong, SMK Kalaka dan MRSM Betong.

SMK Saratok ternyata unggul apabila menyapu bersih hampir kesemua kategori yang dipertandingkan iaitu lelaki dan perempuan bawah 18 tahun serta lelaki dan perempuan bawah 15 tahun. Mereka turut menjuarai acara beregu bagi kategori perempuan bawah 18 dan 15 tahun.

Untuk rekod, ia merupakan kejuaraan keenam berturut-turut buat sekolah berkenaan.

Dengan kejayaan itu, para pemain SMK Saratok bakal mengibarkan cabaran Betong ke pertandingan peringkat negeri di Sarikei pada 14-17 Februari ini.