UMS sedia untuk status autonomi

0

KAMARUZAMAN bersalaman dengan salah seorang kakitangan UMS ketika perarakan keluar dewan selepas menyampaikan amanatnya di Dewan Canselor universiti itu, kelmarin.

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersedia untuk diaudit bagi menentukan kesediaan universiti itu untuk mendapat status autonomi, kata Naib Canselornya Brig Jen Prof Datuk Seri Panglima Dr Kamaruzaman Ampon.

Beliau berkata, Jawatankuasa Kerja berkaitan juga sedang berusaha membuat persediaan untuk proses audit kesediaan autonomi bagi fasa kedua pada tahun ini.

“Kerajaan telah memutuskan untuk menganugerah status autonomi kepada semua IPTA menjelang 2015 dengan semua IPTA perlu melalui proses pengauditan menjelang tahun terbabit.

“Langkah ini merupakan proses penurunan kuasa bagi meningkatkan kecekapan prestasi perkhidmatan awam terutamanya sektor pengajian tinggi dan pemberian status autonomi ini adalah berteraskan prinsip integiriti dan akauntabiliti,” katanya.

Tambahnya, melalui autonomi, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berkuasa membuat dan melaksanakan keputusan sendiri melalui struktur tadbir urus yang jelas.

Katanya, struktur itu terdiri daripada Lembaga Pengarah Universiti, Senat, Naib Canselor dan pihak berkuasa lain.

Kamaruzaman berkata, pembuatan dan pelaksanaan keputusan adalah berkaitan pengurusan kewangan dan penjanaan kekayaan, dan penetapan dasar berkaitan pembangunan organisasi.

Di samping itu, pembuatan dan pelaksanaan keputusan juga boleh berkait sistem saraan dan urusan perkhidmatan berkaitan modal insan, serta mewujud, menawar dan melaksanakan program pengajian berdasarkan sistem jaminan kualiti yang memenuhi keperluan audit institusi.

“Dengan adanya autonomi, pihak IPTA boleh membuat perancangan sendiri dalam usaha menjadi institusi bertaraf dunia,” katanya di Majlis Amanat Naib Canselor di Dewan Canselor UMS, kelmarin.

Katanya, bermula tahun lalu, IPTA secara berperingkat telah diaudit dan diukur tahap kesediaan masing-masing untuk diberikan status autonomi.

Lima universiti pendidikan (RU) telah diaudit sebelum ini adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bertindak sebagai panel auditor dengan instrumen penilaian pula adalah kod tadbir urus Code of University Good Governace (CUGG).

Sementara itu, Kamaruzaman berkata, Dokumen Penilaian Kendiri perlu disediakan dan dikemukakan kepada MPC selewat-lewatnya 10 April tahun ini, manakala lawatan audit MPC dijangka pada 14 hingga 16 Mei nanti.

“Dengan terlaksananya audit ini nanti, kita akan mengetahui kedudukan serta kelemahan-kelemahan UMS bagi membolehkan langkah penambahbaikan berterusan dilaksanakan,” katanya.