Bidayuh masih bersama BN

0

Usaha DAP hanya untuk jual masa depan rakyat: Dawos

PRIHATIN: Dawos (dua kanan) menyampaikan baucar BR1M kepada salah seorang penerima di kawasan Parlimen Mambong.

KUCHING: Masyarakat Bidayuh tidak berpecah dan masih berdiri teguh bersama Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Menteri Pelancongan Datuk James Dawos.

Beliau berkata, khabar angin yang menyatakan bahawa komuniti tersebut ‘tidak sebulu’ hanyalah publisiti dalam surat khabar.

“Bidayuh tidak berpecah dan ia hanya publisiti dalam surat khabar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia bagi Parlimen Mambong di sini, semalam.

Seramai 500 daripada 8,316 pemohon yang layak di kawasan Parlimen Mambong menerima BR1M.

Menurutnya, usaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) mempengaruhi minda masyarakat Bidayuh hanyalah untuk menjual masa depan rakyat.

“Mereka sepatutnya membuktikan kemampuan mereka terlebih dahulu dan bukannya hanya berjanji.

“Apa yang pasti DAP tidak mampu buat apa-apa, oleh itu janganlah cakap banyak,” ujarnya.

Dawos menegaskan, rakyat Sarawak termasuk masyarakat Bidayuh perlu tahu mengenai penipuan yang mereka kerap lakukan.

“Adakah rakyat Bumiputera masih mahu menyokong parti-parti pembangkang. Kenapa?

“Semua ini sudah tentu disebabkan mereka dijanjikan jawatan tertentu dan cetek pengetahuan mengenai politik,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Mambong menjelaskan, rakyat yang mahukan pembangkang ibarat menyokong penipu yang hanya pandai menabur janji.

Terdahulu ketika berucap, Dawos memberitahu, kerajaan BN melaksanakan setiap janji yang diberitahu kepada rakyat dan bukannya hanya menjual janji.

“Ini jelas terbukti dengan pemberian BR1M, Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) dan bantuan persekolahan RM100.

“Inisiatif kerajaan ini bukan terhenti setakat ini kerana ia berterusan,” kata Dawos.