K’jaan sedang semak semula elaun ketua masyarakat

0

SIBU: Ketua masyarakat di negeri ini boleh mengharapkan berita baik me-ngenai semakan semula elaun yang sentiasa dinanti-nantikan mereka selama ini.

Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata kerajaan sedang melihat perkara itu dan sentiasa memenuhi apa yang te-lah dijanjikan.

“Saya berpendapat bahawa kerajaan akan menunaikan janji (semakan elaun) pada masa yang sesuai.

“Ini kerana terdapat begitu banyak program yang sedang dijalankan dan keutamaan diberikan kepada program yang memberi manfaat kepada majoriti rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Mungkin selepas ini, kerajaan akan melihat berhubung elaun ketua masyarakat. Kerajaan akan membayar apa yang mereka mampu dan saya percaya mereka sedang mengkaji usaha ini.

“Ia telah diumumkan dan apa yang telah diumumkan, kerajaan akan menunaikannya pada masa yang se-suai,” ujarnya.

Terdahulu, Mawan yang juga Menteri Kanan dan Menteri Kemajuan Sosial telah menyerahkan cek berjumlah RM10,000 kepada Kelab Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) yang diterima oleh Naib Presidennya Jonas Rayih di sebuah restoran terkemuka di sini, semalam.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri Peter Howell Jilan, Pengerusi MDLBS James Laju Ambok dan Pengerusi SPDP Zon Tengah Kaunselor Tiong Yong Hing.

Mawan memberitahu bahawa ke-rajaan sememangnya menyedari tanggungjawab yang dipikul oleh pe-mimpin-pemimpin masyarakat se-perti ketua rumah panjang yang memerlukan kenaikan elaun mereka.

Mawan berkata demikian ketika ditanya mengenai rayuan daripada ketua-ketua rumah panjang di sini agar elaun mereka disemak semula memandangkan rakan-rakan mereka di Semenanjung Malaysia sudah menikmati manfaat kenaikan elaun.

Kelmarin, Pengerusi Persatuan Tuai Rumah Sibu (PTRS) Linus Melin berkata, semakan elaun perlu dilakukan memandangkan kos sara hidup semakin meningkat dan tanggungjawab yang dipikul oleh tuai rumah pada hari ini lebih besar dan berat.

Linus menjelaskan bahawa elaun bulanan sebanyak RM450 tidak mencukupi dan ramai ahli PTRS bertanya berhubung semakan elaun terbabit setiap kali mesyuarat persatuan.

“Peranan tuai rumah sangat penting kerana ia merupakan jambatan antara rakyat dan kerajaan di samping membantu menyebarkan maklumat kepada rakyat.

“Oleh itu, semakan semula elaun amat perlu untuk mendorong mereka bekerja dengan lebih keras dan berkhidmat dengan rakyat,” kata Linus yang juga seorang tuai rumah.