SPDP sedia hadapi PRU: Mawan

0

SIBU: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) telah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presidennya Tan Sri William Mawan Ikom berkata, SPDP telah menyediakan diri dengan kerap turun padang di kalangan wakil rakyatnya bagi mengatasi masalah rakyat di kawasan Parlimen masing-masing.

“Sebenarnya SPDP telah lama bersedia untuk menghadapi PRU yang akan datang dan wakil kami (wakil rakyat SPDP) telah melaksanakan tugas masing-masing mengikut perancangan serta strategi SPDP.

“Dengan cara itu, kami (SDPD) yakin akan menang di semua kerusi milik SPDP dalam PRU kelak termasuk di Parlimen Mas Gading,” ujarnya kepada pemberita, semalam.

Terdahulu, Mawan yang juga Menteri Kanan dan Menteri Pembangunan Sosial telah menyerahkan cek bernilai RM10,000 kepada Kelab Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) yang diterima oleh Naib Presidennya, Jonas Rayih di sebuah restoran terkemuka di sini.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri Peter Howell Jilan, Pengerusi MDLBS James Laju Ambok dan Pengerusi SPDP Zon Tengah Kaunselor Tiong Yong Hing.

Beliau memberitahu, meskipun kerusi Mas Gading belum menetapkan siapa calonnya namun kawasan Parlimen tersebut merupakan kubu kuat Barisan Nasional.

“Sekarang respons rakyat di situ memang mengatakan Datuk Dr Tiki Lafe adalah calon mereka kerana SPDP masih belum lagi mengumumkan siapa penggantinya. Memang sekarang beliau (Dr Tiki) merupakan penyandang kepada kerusi Parlimen Mas Gading,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai siapakah calon yang bakal menggantikan Dr Tiki, Mawan berkata: “SPDP sudah mempunyai enam hingga tujuh orang calon yang boleh menggantikan tempatnya.

“Sekarang SPDP masih berbincang sesama sendiri untuk memilih salah satu antara mereka.

“Ini bukan bermakna saya memilih berdasarkan pilih kasih tetapi berdasarkan semua keputusan SPDP termasuk rakyat di situ (Mas Gading).

“Calon yang dipilih kelak adalah yang tepat berdasarkan semua suara termasuk rakyat. Saya akan umumkan siapa calonnya bila tiba masanya nanti,” katanya.