Tiga KR1M dijangka diwujudkan di Parlimen Mambong

0

KUCHING: Tiga Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dijangka akan diwujudkan di kawasan Parlimen Mambong bermula tahun ini.

Timbalan Menteri Pelancongan Datuk James Dawos berkata, KR1M berkemungkinan dibina di Bau, Serian dan Siburan.

“Saya mahu bawa tiga KR1M ke kawasan ini. Saya memang berharap ia dapat diwujudkan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi kawasan Parlimen Mambong di sini, semalam.

Namun begitu, menurutnya, apa yang perlu sekarang adalah untuk mengenal pasti pengusaha yang mahu menjalankannya dan membolehkan perakuan dibuat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Kalau tiada ‘tauke’ bagaimana saya hendak buat perakuan kepada KPDNKK.

“Saya rasa pelaksanaannya tidak mahal,” ujarnya.

KR1M adalah sebuah kedai yang berkonsepkan pasar mini yang menjual pelbagai barangan keperluan asas dengan harga rendah.