Sunday, November 1

Cina usah meminggirkan diri

0

TRADISI: Taib dan Asfia bersama tetamu kehormat dan pemimpin komuniti Cina menggaul yee sang.

MIRI: Mereka perlu bekerjasama dengan BN bagi teruskan kesinambungan rancangan pembangunan: Taib

Komuniti Cina di negeri ini disaran tidak menjadikan masalah dalaman politik sebagai alasan untuk mereka meminggirkan diri daripada kerajaan, kata Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata, sebaliknya kaum Cina perlu bekerjasama erat dengan Barisan Nasional (BN) untuk meneruskan kesinambungan rancangan pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di negeri ini.

“Kita tidak boleh membiarkan permasalahan politik membawa kita jauh ke tepi daripada BN.

“Setiap permasalahan walau sekecil mana yang dihadapi oleh komuniti Cina perlu ditangani melalui interaksi dan polisi yang baik.

“Saya mahu anda semua menjaga perpaduan dan hubungan baik, jangan fikirkan mengenai politik dan tak payah fikirkan perkara itu dalam tempoh dua tahun.

“Saya tidak pasti apa penyelesaian yang terbaik untuk komuniti Cina, namun yang penting anda harus bersatu padu dan menyelesaikan masalah bersama-sama dengan kerajaan,” katanya berucap pada majlis makan malam anjuran Persekutuan Persatuan Cina Sarawak Bahagian Miri di Eastwood Valley Golf and Country Club malam kelmarin.

Dalam itu, Taib mengingatkan komuniti Cina di negeri ini agar bekerjasama dengan kaum lain termasuk Iban, Melayu dan Orang Ulu untuk merancakkan pertumbuhan sosioekonomi dan kestabilan politik.

“Saya percaya melalui interaksi yang baik, kita berupaya mengetengahkan  potensi melalui strategi kerajaan yang sesuai dengan keperluan dan kehendak rakyat.

“Kita di Sarawak mempunyai tahap perpaduan yang tinggi dan saling hormat-menghormati dan semangat ini menjadi asas untuk kita terus membangun menjadi negeri terkaya di Malaysia,” katanya.

Ujar Taib, Sarawak melalui projek mega Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) menyediakan peluang kerja yang banyak dan ini secara tidak langsung membantu menaikkan taraf hidup rakyat di negeri ini.

“Kepelbagaian kaum di negeri ini memberi kelebihan kepada landskap pembangunan di sini.

“Sebagai contoh, dasar politik pembangunan kita sejak 30 tahun lalu telah berjaya mengubah wajah Miri daripada sebuah pekan nelayan kepada bandar raya yang berkembang pesat,” katanya.

Hadir sama Pemangku Yang di-Pertua Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan isteri Datin Amar Fatimah Mohd Iskandar, Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, menteri-menteri kabinet, Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak Bahagian Miri Soo Mei Kong, usahawan dan ketua-ketua masyarakat.