Perjalanan ke pusat peranginan Damai akan lebih selesa: Abg Jo

0

Cadangan menaik taraf Jalan Sultan Tengah akan dikemuka dalam RMK-11
SANTUBONG: Cadangan menaik taraf Jalan Sultan Tengah yang menghubungkan bandar raya ini dan Semenanjung Damai hanya dikemukakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, projek tersebut merangkumi penambahan pembesaran jalan daripada satu kepada dua lorong.

“Kami telah merangka satu cadangan supaya Jalan Sultan Tengah dinaik taraf untuk menjadi dua lorong.

“Ia adalah untuk memberi kemudahan lebih selesa kepada pelawat yang berkunjung ke Semenanjung Damai dari Kuching,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pra-Pelancaran Pakej Gawai Istimewa di Kampung Budaya di sini, semalam.

Menurutnya, memang kerajaan sudah mewujudkan Jalan 2020 di kawasan tersebut namun apa yang dirancangkan adalah menyambungkan jalan dari Wisma Yayasan Sarawak hingga ke Damai.

“Projek ini memang menelan belanja agak besar sebab itu kami masih dalam perbincangan dengan kerajaan pusat.

“Ia tidak akan dilaksanakan dalam RMK-10 tetapi kami akan cadangkan untuk Rancangan Malaysia seterusnya,” ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Perumahan menjelaskan, pada masa ini hanya sebahagian Jalan Sultan Tengah sudah dinaik taraf iaitu bermula dari Kampung Semerah Padi ke Yayasan Sarawak.

“Dulu saya juga mencadangkan ia diteruskan hingga ke Kampung Rampangi dan seterusnya ke Damai.

“Namun ia memerlukan pembinaan sebuah lagi jambatan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari memberitahu, masalah perhubungan antara Sarawak ke destinasi lain dijangka akan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan.

“Kami akan bekerja keras untuk selesaikan masalah ini.

“Jika ia selesai, seluruh Malaysia akan mendapat faedah.

“Apa yang kami rancang adalah untuk membawa pelancong luar secara terus ke negeri ini agar mereka dapat melihat sendiri produk-produk tempatan,” katanya.