Takut dimarahi kerana lambat pulang, gadis mereka cerita dirinya dirompak dan dilarikan

0

KUCHING: Takut dimarahi kerana lewat pulang, seorang gadis sanggup berbohong dengan mendakwa dirinya telah dirompak dan dilarikan oleh seseorang yang tidak dikenali malam Isnin lepas.

Gadis tersebut yang berusia 18 tahun, berasal dari Semariang pada mulanya dikatakan telah keluar dari rumah dan tidak pulang pada malam tesebut.

Risau akan keselamatannya, bapanya telah cuba menghubunginya berulang kali namun gagal.

Gadis tersebut bagaimanapun telah pulang pada hari berikutnya dan menceritakan kepada bapanya bahawa dia telah dipaksa masuk ke dalam sebuah kereta oleh seseorang yang dia tidak kenali.

Ekoran itu, dia telah mendakwa dirinya telah dirompak sebelum ditinggalkan di tepi jalan.

Terkejut selepas mendengar cerita tersebut, bapa gadis itu telah membawanya membuat laporan polis berhubung kejadian.

Bagaimanapun, pihak polis telah mecurigai sesuatu selepas kenyataan yang diberikan oleh gadis itu tidak konsisten ketika disoal siasat.

Gadis tersebut kemudiannya telah mengaku bahawa dia telah mereka cerita kerana takut dimarahi bapanya selepas dia gagal pulang pada malam tersebut dan telah bermalam di rumah rakannya.