Kulimbabau kibar cabaran Limbang dalam tarik tali kalat

0

LIMBANG BOLEH!: Dr Rahman (empat kanan) dan Sufian (enam kanan) bersama pasukan Kulimbabau sebelum berangkat ke Labuan.

LIMBANG: Pasukan Kulimbabau Pemuda PBB N68 Bukit Kota Limbang sedia mengibarkan cabaran untuk bergelar juara dalam Kejohanan Tarik Kalat sempena Hari Wilayah Persekutuan di Labuan pada hujung minggu ini (11 dan 12 Februari).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail berkata keyakinan itu berdasarkan prestasi dan pengalaman yang dimiliki pasukan itu dalam sukan tarik kalat di sekitar kepulauan Borneo.

Jelasnya, latihan intensif yang giat dijalankan sebelum ini membawa kelebihan kepada Kulimbabau untuk menyahut cabaran agar tidak balik dengan tangan kosong.

“Walaupun baru ditubuhkan, Kulimbabau mampu memberi saingan sengit kepada pasukan lawan berdasarkan pengalaman mereka dalam kejohanan serupa sebelum ini.

“Selain memperkenalkan Limbang sebagai kubu kuat atlet tarik kalat, kita mampu mencipta kehebatan tersendiri,” katanya pada sesi taklimat kepada pasukan Kulimbabau sebelum mereka berangkat ke Labuan semalam.

Turut sama ialah Walikota Majlis Daerah Limbang merangkap Ketua Pemuda PBB N68 Bukit Kota, Sufian Mohat.

Dr Rahman berkata lagi sukan tarik kalat semakin popular dan mendapat tempat di kepulauan Borneo sehingga mempunyai peminatnya sendiri.

“Sukan tarik kalat sentiasa subur dan sering diminati berdasarkan penyertaan memberangsangkan daripada pasukan luar setiap kali kejohanan tarik kalat diadakan.

“Kejohanan ini menjadi satu lagi acara besar yang akan diadakan secara konsinsten setiap minggu ketiga bulan Oktober di Limbang,” ujarnya lagi.

Beliau juga mahu pasukan Kulimbabau menunjukkan semangat kesukanan tinggi dan sentiasa menjaga nama dan disiplin sepanjang pertandingan diadakan di sana nanti.

Dalam pada itu, Sufian berkata selain Labuan, Kulimbabau pernah beraksi cemerlang dengan mencatat tempat ketiga dalam kejohanan sama di Kota Merudu Sabah dan menduduki tangga keempat dalam acara serupa di Kabong tahun lepas.