S’wak terdesak akhiri ‘kemarau’

0

Lima perlawanan tanpa kemenangan diharap berakhir menentang Felda United

KUCHING: Tanpa sebarang kemenangan sepanjang lima perlawanan terakhir sememangnya cukup merisaukan Sarawak ketika skuad negeri cuba bangkit ketika melayan kunjungan Felda United dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Petra Jaya malam ini (Sabtu).

Justeru ketua jurulatihnya, Robert Alberts mahu anak-anak buahnya memberikan prestasi sebaik mungkin demi menghapuskan badi kekalahan itu di laman sendiri.

Setelah kecundang tipis 1-2 di pangkuan Perak pada Rabu lalu,  anak-anak buah Alberts sememangnya sudah terdesak menebus kekecewaan itu ketika menentang pasukan berstatus kelab itu.

“Kita amat mengharapkan keputusan positif untuk menyemarakkan semangat pemain-pemain agar terus berjuang,” katanya.

Alberts mengakui persembahan anak-anak buahnya ketika dibenam Perak empat hari lalu sememangnya begitu mengecewakan kerana ternyata mereka bermain di bawah prestasi sebenar.

Walau bagaimanapun, katanya, Sarawak harus lupakan episod duka itu dan memberi fokus untuk bangkit mencipta kemenangan malam ini.

“Saya yakin pemain-pemain mampu melakukan yang terbaik bagi memburu kemenangan mutlak.

“Saya juga percaya semua pemain kita mampu beraksi cemerlang di laman sendiri dengan sokongan padu para penyokong setia,” katanya.

Alberts berkata kehadiran penyerang baru, Vedran Muratovic pastinya mampu memberi keyakinan tinggi buat pemain-pemainnya terutamanya di bahagian serangan memburu kemenangan.

Jurulatih kelahiran Belanda itu gembira dengan prestasi yang dipamerkan oleh Muratovic pada aksi sulungnya menentang Perak di laman lawan, malam Rabu lalu.

“Saya berharap agar Vedran (Muratovic) akan mampu memberikan prestasi terbaiknya di hadapan penyokong sendiri bagi membolehkan kita mencapai kemenangan malam esok,” katanya.

Alberts menarik perhatian kemenangan amat diperlukan oleh skuadnya bagi mendepani cabaran lebih getir dalam perlawanan-perlawanan seterusnya.

“Saya cukup yakin para pemain kita tidak mudah mengalah dan memberikan persembahan terbaik mereka nanti,” katanya.

Kekalahan kepada Perak Rabu lalu merupakan kekalahan ketiga Sarawak setakat musim ini dengan hanya sekali mencipta kemenangan dan dua kali seri.

Keputusan itu turut menyebabkan pasukan negeri jatuh ke tangga ke-11 liga iaitu tiga anak tangga tercorot dalam Liga Super.