GLC diseru bantu syarikat bumiputera

0

TAWAU: Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan sektor korporat digesa membantu syarikat Bumiputera.

Tawfiq merasmikan Kedai Ayamas sambil diperhatikan Pengarah Urusan Kumpulan Rastamas, Datuk Tahir Picho.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman berkata ia akan membolehkan mereka menimba pengalaman dengan menerokai peluang-peluang perniagaan yang lebih mencabar dan berdaya saing.

“Saya yakin syarikat dan anak-anak tempatan juga tidak kurang hebatnya dan memiliki kebolehan serta potensi untuk berjaya dalam sektor perniagaan yang diceburi,” katanya.

Beliau yang diwakili Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, berkata demikian dalam teks ucapannya pada perasmian Kedai Ayamas, Jalan Dunlop di sini.

Sebagai kerajaan yang pro dan mesra perniagaan, katanya, Kerajaan Negeri menggalakkan lebih banyak lagi sektor perniagaan untuk mengembangkan sayap operasinya ke Sabah.

Usaha itu sudah pasti akan menjadi pemangkin bagi merancakkan dan mempelbagaikan sektor ekonomi untuk memacu kemajuan negeri.

“Justeru, amat penting untuk rakyat di semua peringkat untuk terus mengukuhkan lagi semangat perpaduan, kerjasama dan keharmonian sesama kita yang akhirnya menyumbang kepada kestabilan politik dan ekonomi,” katanya sambil menambah, dengan keamanan dan kemakmuran yang dinikmati hari ini, kerajaan dapat melaksanakan lebih banyak usaha pembangunan.

Musa berkata, daerah Tawau mempunyai pelbagai potensi ekonomi dan perniagaan yang perlu dimanfaatkan khususnya berkaitan industri dan produk makanan halal.

Sehubungan itu, beliau percaya penubuhan kedai itu dijangka akan dapat memberikan lebih banyak pilihan terutama produk makanan halal dan berkualiti kepada masyarakat.

Tambahnya, usaha itu juga secara tidak langsung akan dapat memberikan limpahan ekonomi dan meningkatkan taraf ekonomi dari segi penyediaan peluang pekerjaan dan mewujudkan rangkaian perniagaan yang baru.