Kempen Go-Green kurangkan penggunaan plastik

0

SANDAKAN: Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2010 telah membelanjakan kira-kira RM1 juta untuk menyediakan beg plastik bagi kegunaan pesakit membawa ubat-ubatan.

ZORINA (dua dari kiri) menandatangani poster kempen sebagai simbolik perasmian “Kempen Go Green” di HDOK kelmarin.

Berikutan ia telah menjejaskan alam sekitar, kementerian mengambil langkah proaktif melancarkan “Kempen Go-Green” dengan slogan ‘Ke Arah Bumi Hijau, Tiada Beg Plastik di Farmasi’.

Pengarah Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan, Dr Zorina Khalid berkata objektif program berkenaan adalah untuk mengurangkan dan seterusnya menghentikan penyediaan beg plastik di semua farmasi di bawah KKM.

“Pelancaran kempen ini diharap dapat mewujudkan kesedaran di kalangan orang ramai berhubung pemuliharaan alam sekitar dengan mewujudkan persekitaran dan masyarakat yang sihat.

“Selain itu, dengan kempen ini kita harap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai untuk mengurangkan penggunaan beg plastik,” katanya sambil menambah Unit Farmasi HDOK telah mempraktikkan amalan ‘tiada beg plastik’ sejak 2008.

Dalam pada itu, Zorina turut menasihatkan para pesakit supaya membawa beg sendiri berikutan pihak hospital hanya menyediakan beg kertas kitar semula untuk menyimpan ubat-ubatan.

Kempen berkenaan turut dimeriahkan dengan beberapa aktiviti tambahan seperti penanaman pokok, acara melipat beg kertas dan pertandingan melukis.

Turut diadakan, Hari Keluarga HDOK 2012 yang disertai oleh kakitangan hospital bersama ahli keluarga masing-masing.

Antara pengisian program termasuk kempen kitar semula, pertandingan memasak, permainan dalam bangunan, pemeriksaan kesihatan, derma darah, pameran fotografi serta gerai jualan makanan.