Kontraktor TM tidak perlu bimbang isu tamat kontrak

1

CENDERAHATI: Maglin Dennis D’Cruz (kiri) menerima cenderahati daripada Pengerusi Persatuan Kontraktor Telekomunikasi Bumiputra Malaysia (PKTBM) Razali Mohd Yusoff setelah merasmikan mesyuarat agung PKTBM kali ke-8 di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

Maglin yakin kontrak tersebut akan disambung semula
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Datuk Maglin Dennis D’Cruz menasihatkan kontraktor Telekom Malaysia (TM) agar tidak bimbang dengan isu penamatan kontrak mereka pada Jun ini kerana yakin kontrak tersebut akan disambung semula.

“Kontrak ini biasanya dibuat secara tahunan, penamatan kontrak pada Jun ini bukanlah satu isu kerana saya percaya TM akan menyambung semula kontrak tersebut.

“Lagipun Persatuan Kontraktor Telekomunikasi Bumiputera Malaysia (PKTBM) telah 12 tahun bersama-sama TM menggembleng tenaga bagi mencapai sasaran kerajaan meningkatkan kadar celik penggunaan jalur lebar seterusnya menjadikan rakyat berkebolehan dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung kelapan PKTBM di sini, semalam.

Sehubungan itu, D’cruz menyeru TM untuk terus memberi kepercayaan serta peluang kepada para kontraktor yang komited membantu usaha kerajaan itu.

Terdahulu dalam majlis yang sama Yang Dipertua PKTBM, Razali Mohd Yusof menyuarakan kebimbangan nasib hampir 241 kontraktor yang bernaung di bawah persatuan tersebut kerana kontrak yang bakal ditamatkan pada Jun ini.

Razali mewakili kontraktor di dalam PKTBM mengharapkan agar TM terus memberi kepercayaan kepada kontraktor sedia ada kerana mereka telah 12 tahun menjalankan tugas-tugas telekomunikasi TM.

Sementara itu D’cruz berkata KPKK menggalakkan lebih ramai kontraktor TM menceburi bidang telekomunikasi di luar negara.

“Mereka (kontraktor) boleh membawa kepakaran dalam bidang telekomunikasi sedia ada ke negara-negara dunia ketiga yang sedang giat membangun,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai galakan KPKK itu, D’ Cruz berkata TM menerusi Unit Pembangunan Usahawan TM boleh membantu merealisasikan sasaran tersebut.

“TM boleh mencari satu kaedah bagaimana untuk menaik taraf kontraktor sedia ada kepada satu tahap yang lebih cemerlang berasaskan kepada kemampuan yang telah mereka tonjolkan,” katanya.

Menurutnya lagi kerajaan khususnya Jabatan Perdana Menteri menerusi Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) sentiasa memantau hala tuju serta keupayaan kontraktor Bumiputera agar lebih berdaya saing serta mempunyai tahap kualiti perkhidmatan yang lebih baik. — Bernama