Sarawak diharap kekal rentak

0

Kemenangan Sabtu lalu diharap bakar semangat berdepan Johor FC malam ini

KUCHING: Meskipun sedar akan tugas getir menanti di Stadium Pasir Gudang malam ini (Selasa), Sarawak tetap berkeyakinan tinggi meneruskan rentak kemenangan.

Beraksi di gelanggang lawan bukan semudah seperti yang dikecapi Sarawak pada Sabtu lalu ketika ribuan penyokong setia menjadi ‘pemain ke-12’ membantu skuad negeri menjinakkan Felda United.

Namun malam ini, Sarawak pastinya bakal menerima tekanan daripada penyokong lawan (tuan rumah) yang merupakan pasukan berstatus kelab tersohor dalam Liga Malaysia.

“Johor FC bukan seperti kebanyakan pasukan dalam Liga Super. Mereka gemar menyimpan bola, banyak melakukan hantaran rendah dan tidak bermain hantaran jauh,” ujar ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts ketika meramalkan pendekatan pasukan tuan rumah ketika berdepan Sarawak nanti.

Justeru Alberts mahu pasukannya memberikan yang terbaik bagi memburu tiga mata malam ini, lebih-lebih lagi ketika menentang pasukan seperti Johor FC kerana perlawanan ini berpotensi untuk dimenangi Sarawak.

“Kita sudah menentang semua pasukan kuat dalam Liga Super kecuali Kelantan. Sekiranya kita mampu meraih tiga mata daripada pasukan-pasukan seperti Johor FC ini, tanpa niat memperkecilkan mereka, kita mampu pergi jauh musim ini,” ujar Alberts lagi.

Jurulatih import dari Belanda itu turut yakin kemenangan ke atas Felda United Sabtu lalu mampu menjadi bekalan semangat buat anak-anak buahnya untuk memburu kemenangan ketiga malam ini.

“Saya percaya para pemain masih dalam keadaan ‘mood’ yang baik untuk mengekalkan prestasi mereka,” katanya.

Alberts tidak menolak kemungkinan akan mengekalkan kesebelasan utama yang diturunkan ketika membenam Felda United dengan penyerang import, Vedran Muratovic akan bergandingan dengan Zamri Morshidi di barisan serangan.

Menurut Alberts, Muratovic telah membuktikan sentuhan berbisa dalam dua perlawanan lalu dengan menjaringkan dua gol setakat ini.

“Saya yakin Muratovic (Vedran) akan menjadi duri dalam daging buat pasukan lawan (Johor FC),” katanya sambil yakin sentuhan pemain muda, Ashri Chuchu juga akan terus menjadi malam ini.

Alberts memuji aksi cemerlang Ashri dalam pertemuan dengan Felda United Sabtu lalu walaupun pemain muda itu hanya diberi tugas sebagai ‘supersub’.

Berdasarkan dua perlawanan lalu iaitu pertemuan dengan Perak dan Felda United, Sarawak dilihat sudah mampu meningkatkan keupayaan mereka setiap kali berdepan tugas getir.

“Saya juga berharap pemain-pemain tidak terbuai dengan ‘mimpi indah’ malam Sabtu lalu. Sebaliknya, memberi fokus terbaik dalam saingan menentang Johor FC,” jelas Alberts.

Kemenangan selesa 2-0 Johor FC ke atas Kuala Lumpur Sabtu lalu turut menyemarakkan semangat juang skuad Si Jengking itu ketika menanti kunjungan Sang Bujang Senang malam ini.

Justeru, K. Devan tentunya mempunyai percaturan yang baik untuk melayan pasukan Ngap Sayot yang sememangnya dahagakan kemenangan.

“Saya yakin pemain-pemain kita akan mempamerkan aksi hebat mereka masing-masing untuk mencipta kemenangan pertama di gelanggang lawan,” kata Alberts.

Perlawanan Johor FC dan Sarawak di Stadium Pasir Gudang, Johor bermula jam 8.45 malam ini dan ianya akan dipancarkan secara terus di rangkaian Nadi Arena (801) Astro.