Jalan di Kampung Sentah diancam tanah runtuh

1

PERLU WASPADA: Nonima melihat kawasan jalan raya yang tidak lagi selamat digunakan di Kampung Sentah, semalam.

KUCHING: Penduduk Kampung Sentah khuatir jalan raya yang menghubungkan kampung terbabit dengan kawasan luar bakal terputus dan berisiko mengancam nyawa mereka.

Ketua Kampung Nonima Benyi, 54, ketika ditemui semalam berkata, sejak kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 25 Disember tahun lalu, penduduk kampung kini berdepan dengan satu lagi masalah iaitu jalan raya yang hampir runtuh.

“Sebahagian daripada permukaan jalan telah jatuh ke dalam gaung sedalam 30 kaki dan kami menggunakan laluan longkang yang tertimbus akibat tanah runtuh terdahulu.

“Keadaan kereta yang melalui kawasan itu ibarat telur di hujung tanduk menanti bila-bila masa jalan raya untuk runtuh ke bawah kawasan cerun dan cuma kenderaan-kenderaan kecil yang dapat melalui kawasan itu,” kata Nonima kepada Utusan Borneo semalam.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada kehilangan nyawa dilaporkan tetapi tidak mustahil perkara yang tidak diingini akan berlaku jika masalah itu tidak diatasi segera.

Nonima menambah, beliau sebelum ini pernah memaklumkan kepada pihak Majlis Perbandaran Padawan (MPP) untuk membaiki jalan raya itu tetapi diberitahu bahawa MPP masih me- n-unggu tender bagi melaksanakannya.

Pengerusi MPP Lo Khere Chiang ketika dihubungi berkata, kerja-kerja membaik pulih akan diadakan secara agresif bermula minggu depan.

“Kerja-kerja membaik pulih meng-ambil masa dan peruntukan pihak majlis iaitu kira-kira RM30,000 untuk 20 benteng blok berukuran satu meter kali satu meter telah kami pesan.

“Sebaik sahaja blok-blok ini sampai nanti, kami akan menjalankan kerja-kerja membaik pulih secepat mungkin bermula minggu depan dan ia turut meliputi beberapa bahagian cerun yang menunjukkan tanda-tanda awal bakal berlaku tanah runtuh,” katanya ke-pada pemberita semalam.

MPP amat mengambil berat mas-alah rakyat dan akan melakukan yang terbaik untuk penduduk di kawasan tadbirannya.