Tanaman koko giat semulaRM17.8j bangun 2,000 hektar kawasan baharu, RM8.4j pulih kawasan kurang produktif

0

BERKUALITI TINGGI: (Dari kiri) Riot, Martin, Dompok dan Siringan menunjukkan buah koko dari Serian sempena majlis perasmian Program Khidmat Sokongan Pemasaran Domestik dan Skim Pensijilan Koko di Sarawak, di Kampung Bunan, dekat Kuching, semalam.

SERIAN: Kerajaan memperuntuk-kan sebanyak RM17.8 juta pada tahun ini kepada Lembaga Koko Malaysia (LKM) untuk memba-ngunkan 2,000 hektar kawasan baharu tanaman koko dan RM8.4 juta untuk memulihkan 1,000 hektar kawasan tanaman koko yang kurang produktif dan terbiar.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok berkata, peruntukan tersebut adalah bagi meningkatkan pengeluaran biji koko negara dan membantu memenuhi keperluan biji koko daripada pengisar-pe- ngisar koko tempatan.

Selain itu, bagi menjamin sektor koko terus berdaya saing, Dompok berkata, kementeriannya juga telah melancarkan Dasar Industri Komoditi Negara (DIKN) bagi tempoh 2011-2020 yang menyediakan kerangka dasar dan pelan hala tuju pembangunan industri komoditi termasuk sektor koko.

“Bagi sektor koko, DIKN telah menetapkan sasaran untuk menambah 2,000 hektar setiap tahun kawasan baharu tanaman koko supaya keluasan kawasan tanaman koko dapat ditingkatkan daripada 20,543 hektar pada tahun 2011 kepada 40,000 hektar menjelang tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program Khidmat Sokongan Pemasaran Domestik dan Skim Pensijilan Koko di Sarawak, di Kampung Bunan di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Luar merangkap Ahli Parlimen Serian Datuk Richard Riot, ADUN Kedup Martin Ben, Ketua Pengarah LKM Dr Lee Choon Hui dan Pengerusi Lembaga Pengelola Lembaga Koko Malaysia Datuk Siringan Gubat.

Menurut Dompok, industri koko merupakan penyumbang kepada pendapatan eksport negara keempat terbesar di kalangan sektor komoditi selepas kelapa sawit, kayu dan getah.

Tambah beliau, nilai eksport koko dan produk-produk koko bagi tahun 2011 dijangka melebihi RM4.2 bilion yang dicatatkan pada 2010 berikutan peningkatan harga produk koko sepanjang 2011.

“Berdasarkan statistik eksport bagi tempoh Januari-November 2011, nilai eksport koko dan produk koko ialah RM3.8 bilion.

“Destinasi utama pasaran eksport koko ialah Amerika Syarikat, Eropah, Jepun dan negara-negara Asean,” katanya.

Dompok juga berkata, kini harga pasaran biji koko berada pada tahap memberangsangkan iaitu antara RM6,500 hingga RM8,000 satu tan.

Katanya, pada paras harga tersebut, apabila produktiviti dalam lingkungan 1 hingga 1.5 tan bagi setiap hektar, tanaman koko memberi pu-langan pendapatan yang lumayan dan pasaran yang terjamin.

Sehubungan itu, beliau berharap akan lebih ramai pekebun meng-usahakan tanaman koko sama ada pada skala kecil atau komersial.