Bekas tentera berkhidmat 21 tahun sahaja layak terima pencen

0

INGIN TAHU: Zahid diberi taklimat dan melihat sendiri model gudang baharu di Kem Muara Tuang.

KUCHING: Bekas tentera yang berkhidmat sehingga 21 tahun sahaja yang layak menerima pencen.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, memang sudah termaktub dalam undang-undang menetapkan syarat berke-naan.

Menurutnya, perkara berkenaan turut dinyatakan semasa seseorang tentera menandatangani kontrak perjanjian perkhidmatan.

“Skim ini sama dengan sistem ke-tenteraan di seluruh dunia. Tiada negara memberi pencen kepada bekas tentera yang berkhidmat untuk tempoh 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada veteran tentera yang berkhidmat 10,15 dan 18 tahun layak menerima pencen atau tidak.

Selain itu, beliau memberitahu, kementeriannya akan berusaha membantu bekas anggota Sarawak Renjer untuk mendapatkan bayaran ‘one-off’ RM3,000 daripada kerajaan.

“Kami akan melihat kemungkinan mempertimbangkan keperluan Sarawak Renjer pada masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata isu permindahan Kem Ordnans 71 Batalion Kor Diraja di Pending dijangka selesai selewat-lewatnya Julai tahun ini.

Beliau berkata, permindahan kem itu adalah untuk memberi ruang kepada pelaksanaan projek jalan raya di kawasan berkenaan yang melibatkan sebahagian daripada tapak kem.

“Kami prihatin kerana projek ini sudah tergendala 11 peratus.

“Antara faktornya disebabkan isu pengambilan tanah di kem ini,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Sehubungan itu, Zahid menjelaskan bahawa masalah yang timbul sekarang adalah untuk memindahkan gudang di kem berkenaan.

“Gudang ini sepatutnya dipindahkan ke Muara Tuang dalam tempoh yang telah ditetapkan namun pada masa ini kelulusan belum diperolehi,” ujarnya.

Menurutnya, isu pemberian tanah itu perlu dilaksanakan dalam situasi menang-menang kerana Kementerian Pertahanan tidak dibenarkan mendapatkan wang tunai tetapi apa yang boleh diterima adalah aset sama.

“Oleh itu, lebihan tanah yang telah diambil akan diganti pemaju untuk membina gudang di Muara Tuang,” jelasnya.

Mengulas mengenai pembinaan gudang di Kem Muara Tuang, Zahid memberitahu, ia tidak menelan belanja yang besar.