Kerajaan akan terus laksana pengukuran perimeter tanah NCR

0

BETONG: Kerajaan negeri melalui Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Betong akan terus melaksanakan kerja-kerja pengukuran perimeter ke atas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Pada kali ini JTS Betong akan meneruskan usaha tersebut untuk kawasan Kampung Bungin/Sungai Bakir dan Lubak Bungin, Bakir, Spaoh dalam sedikit masa lagi.

Sepertimana di tempat lain, isu tanah NCR merupakan isu yang sangat sensitif dan ia sentiasa dekat di hati rakyat kerana tanah dan rakyat tidak dapat dipisahkan.

Justeru, untuk menangani masalah tersebut kerajaan telah mengambil satu langkah memperkenalkan inisiatif baharu NCR pada penghujung 2010 dengan harapan ia dapat menyelesaikan isu tanah NCR.

Peguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong Anthony Aboi menyeru pemilik-pemilik tanah NCR agar memberi kerjasama kepada pihak JTS dalam menjalankan kerja-kerja penyukatan perimeter kelak.

Beliau berkata demikian dalam satu Majlis Dialog Lapangan Inisiatif Baru NCR di Dewan Wawasan, Kampung Bungin, Spaoh, pada baru-baru ini,

“Dalam inisiatif baharu NCR, ia terbahagi kepada dua  langkah iaitu pada langkah pertama, kawasan NCR yang dilulus akan disukat perimeter dan hasil daripada kerja-kerja penyukatan tersebut akan diwartakan sebagai Rizab Guna Sama ( Pertanian) Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri bagi mengiktiraf hak rakyat.

“Pada langkah kedua, kawasan yang telah diwarta akan disukat secara individu dan hasil daripada kerja-kerja tersebut adalah dengan pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

“Segala kos penyukatan ditanggung oleh kerajaan dan tempoh tanah tuan-tuan akan berkekalan dan tidak mempunyai tempoh luput.

“Ia adalah satu pengiktirafan kerajaan ke atas tanah NCR yang tuan-tuan usahakan selama ini,” kata Anthony.

Selain daripada itu katanya, kerja pengukuran tanah NCR adalah usaha berterusan JTS dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan tidak sepertimana yang dikatakan oleh pihak pembangkang semasa pilihan raya yang lalu.

“Sebagai buktinya, beberapa kawasan telah kami sukat dan wartakan contohnya, di kawasan Entebu/Selambong/Bajau di Saratok, Kampung Manggut, Spaoh, Kampung Dato Godam, Pusa dan Sungai Ensuri, Pusa di mana salinan wartanya telah diserahkan kepada penghulu dan tuai-tuai rumah yang berkaitan dan salinan warta itu juga boleh didapati di JTS Betong,” jelasnya.

Sementara itu Penghulu Sulaiman mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan kerana tanah NCR yang mereka perjuangkan selama ini akhirnya diluluskan.

Katanya meskipun ia hanya disukat perimeter tetapi  sekurang-kurangnya usaha kerajaan itu telah mengiktiraf tanah NCR komuniti Melayu di Kampung Bungin.

Majlis turut dihadiri oleh Pegawai Menguasa Daerah Spaoh Bujang Ladi,  Pegawai JTS daripada Ibu Pejabat Kuching Mohamad Asri Jaya, Juruukur Bakeri Samsudin, Pegawai JTS Betong David Laeng, Penghulu Satar, ketua-ketua masyarakat setempat serta lebih 80 penduduk Kampung Bungin dan sekitarnya.