Lebih 150 penduduk di Manjoi, Buntong terjejas akibat banjir

0

MANGSA BANJIR: Anggota pasukan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Kinta membantu menyelamatkan mangsa banjir Rodhiah Nasir, 78, yang terperangkap apabila rumahnya di Jalan Raja, Gugusan Manjoi dinaiki air sejak pagi semalam. — Gambar Bernama

IPOH: Lebih 150 penduduk dari 50 buah keluarga di Gugusan Manjoi dan Buntong di sini terpaksa dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara akibat kejadian banjir kilat berikutan hujan lebat sejak malam kelmarin.

Kesemua mereka dari Kampung Dato Ahmad Said, Kampung Tengku Hussein dan Kampung Manjoi dipindahkan berikutan paras air di beberapa batang sungai antaranya Sungai Pari dan Sungai Tapah melimpah.

Kesemua mangsa ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Tengku Hussein dan Dewan Orang Ramai Kampung Manjoi di sini.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, yang meninjau kawasan terjejas di Kampung Manjoi di sini, pagi semalam, berkata kejadian banjir itu dianggap luar biasa berbanding sebelum ini.

Beliau meminta Majlis Keselamatan Negeri dan agensi kerajaan lain menyalurkan segala bentuk bantuan dengan segera terutama keperluan harian dan makanan kepada kesemua mangsa banjir.

“Pihak yang bertanggungjawab juga perlu mengambil langkah segera bagi menghubungkan kawasan ini termasuk jalan raya di kampung-kampung yang rosak,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menyumbang sejumlah peruntukan kepada semua mangsa banjir bagi mengurangkan beban terutama untuk membaik pulih kediaman mereka.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi Datuk Nazri Ismail berkata menerusi laporan Jabatan Meteorologi, banjir tersebut ditandakan sebagai kawasan Jingga iaitu keadaan yang masih berisiko dilanda banjir semula.

Seorang penduduk di Kampung Manjoi, Che Akhirson Abd Ulrassar, 55, berkata beliau menyedari kejadian itu berlaku apabila seorang penduduk menjerit dengan memberitahu banjir berlaku.

“Pukul enam pagi saya lihat rumah saya dinaiki air sehingga ke paras lutut.

Perabot di rumah saya rosak termasuk dua ekor kucing saya mati,” katanya ketika ditemui.

Suri rumah Habsah Sharif, 56, berkata kejadian banjir yang berlaku pada hari ini merupakan kejadian yang paling buruk berlaku berbanding sebelum ini.

“Sebelum ini kalau hujan memang air naik tapi tak seteruk hari ini. Habis barang-barang saya tak dapat diselamatkan,” katanya yang tinggal bersama suami serta dua orang anaknya. — Bernama