Orang ramai dinasihat kawal ternakan di laluan LTdL

0

KUANTAN: Polis Pahang semalam meminta penduduk di kawasan laluan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 mengawal ternakan mereka agar tidak berkeliaran di jalan raya sepanjang perlumbaan berlangsung.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata langkah itu penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini yang menjejaskan perlumbaan dan juga pelumba.

“Sehubungan itu dinasihatkan kepada penternak agar mengambil tindakan mengawal dan memagari binatang ternakan mereka khususnya di laluan jalan lama (persekutuan) dari Temerloh ke Maran dan Maran ke Kuantan,” katanya pada sidang media, di sini.

Katanya, perlumbaan LTdL di negeri ini membabitkan tiga peringkat iaitu peringkat enam hingga lapan yang bermula dari 29 Feb hingga 3 Mac.

Hari pertama membabitkan laluan Bentong ke Genting Highlands, diikuti Bentong-Kuantan dan hari ketiga perlumbaan bermula dari Pekan sehingga ke Chukai, Terengganu, katanya.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengikut arahan polis dan diharap dapat bersabar sekiranya berlaku sedikit kesesakan lalu lintas sepanjang perlumbaan itu yang merentasi negeri ini nanti,” katanya. — Bernama