Tiga deret rumah teres hampir ranap dijilat api

0

KUCHING: Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila tiga deret rumah teres di Taman Tunku Fasa II, di Jalan Astana hampir ranap di- jilat api, petang semalam.

Difahamkan sebuah daripada rumah  itu tidak berpenghuni.

Menurut salah seorang jiran, Najihah Bahari, 26, kebakaran itu mula disedari sekitar jam 5.15 petang apabila terdengar bunyi agak kuat tidak jauh dari rumahnya.

“Saya ingatkan ada orang bergaduh kerana bunyi dentuman yang sangat kuat tetapi apabila saya menjenguk keluar, api sedang marak dari tingkat atas rumah tersebut,” katanya ke-pada pemberita, semalam.

Katanya, kebakaran itu dipercayai bermula dari tingkat atas rumah tengah itu yang pemiliknya difahamkan berada di Kuala Lumpur atas urusan kerja.

Kedua-dua orang anak pemilik rumah itu yang berusia dalam lingku-ngan 20-an dikejarkan ke hospital setelah mengalami luka ringan dan pengsan akibat asap tebal, katanya.

Turut berada di tempat kejadian, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof.

Fadillah memberitahu, sumbangan pendahuluan sebanyak RM2,000 akan disampaikan kepada setiap       keluarga untuk membeli barang keperluan.

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, beliau juga akan meminta badan kebajikan lain menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa. Tambahnya, tempat tinggal sementara juga akan diusahakan sekiranya perlu.

Sementara itu, menurut ketua balai bomba Petra Jaya Terry Robson, me-reka menerima panggilan sekitar jam 5.25 petang dan turut meminta bantuan daripada balai bomba Batu Lintang, Padungan dan Tabuan Jaya, dengan kekuatan anggota 40 orang.

Katanya, kebakaran itu dapat dipadamkan dalam masa 20 minit.

“Punca dan anggaran kejadian belum dapat diketahui, kita tunggu unit forensik bomba jalankan siasatan dahulu baru kita maklumkan,” katanya.