Sarawak amat komited banteras aktiviti haram hidupan liar, hutan

0

KUCHING: Sarawak komited memantapkan lagi aktiviti penguat-kuasaan dalam usaha membanteras aktiviti haram terhadap hidupan liar dan hutan di negeri ini.

Menteri Muda Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh mengakui, kegiatan haram tidak dapat diberhentikan 100 peratus, namun keberkesanannya boleh dipertingkatkan dengan memaksimumkan aktiviti penguatkuasaan.

“Kita perlu mempunyai pasukan penguatkuasaan yang mantap bagi memastikan semua aktiviti haram sedemikian dapat dikendalikan.

“Tambahan dengan kelengkapan yang ada seperti bot laju atau kenderaan, kita akan berusaha untuk mengurangkan aktiviti sedemikian sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan bangunan Pejabat Hutan Wilayah Kuching di Jalan Sultan Tengah yang dihadiri Pengarah Hutan Sarawak Ali Yusop, di sini semalam.

Berhubung penjualan telur penyu yang didakwa masih berleluasa di sempadan Serikin terutamanya pada hujung minggu, kata Len Talif, tangkapan sering kali dibuat.

“Bukan sahaja hujung minggu, tetapi penguat kuasa turut pergi pada hari biasa, memang ada dijual tetapi ia dari pihak sebelah (negara jiran).

“Jika kita nampak perkara berkenaan memang kita tangkap dan tidak biarkan mereka terlepas,” katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, beliau berharap dalam usaha memantapkan penguatkuasaan di negeri ini, Jabatan Hutan Sarawak (JHS) akan menjalin kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan.

Ia, kata beliau, bukan sahaja bersama Sarawak Forestry Corporation (SFC), Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) serta Harwood, tetapi agensi-agensi seperti polis, maritim serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Len Talif dalam pada itu menegaskan kerajaan juga berusaha untuk meneruskan program penanaman pokok bakau di beberapa kawasan di negeri ini.

“Ia bukan untuk keselamatan (bagi mengelakkan hakisan) tetapi sebagai tempat pembiakan hidupan laut, yang merupakan matlamat jangka panjang kita,” ujar beliau.

Tambahnya, sehingga kini program penanaman pokok bakau telah dikendalikan di Selabat, Kampung Buntal, Sebuyau, Kampung Rajang, Matu, Lawas, Daro dan kawasan Tanah Bencah di Kuching.

Ditanya mengenai sasaran keluasan penanaman pokok bakau, beliau berkata ia bergantung kepada kemampuan dari segi peruntukan dan tenaga kerja.

“Sasaran memang ada tetapi tertakluk kepada kemampuan kita dari segi tenaga kerja dan peruntukan,” tegas beliau.