Air selamat diminum: LAKU

4

SELAMAT: (Dari kiri) Lo, Lee dan Sebastian meminum air terawat di Loji Perawatan Air LAKU di Lambir semalam.

Rawatan sudah dibuat pastikan tahap keselamatan air menepati piawaian

MIRI: LAKU Management Sdn Bhd (LAKU) semalam memberi jaminan bahawa bekalan air paip di Miri selamat diminum dan digunakan seperti biasa.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LAKU, Wong Tiong Kai ketika memberi jaminan tersebut berkata, pihaknya telah melakukan rawatan sewajarnya untuk memastikan tahap keselamatan air tersebut menepati piawaian yang ditetapkan.

“Bagi membuktikan ia benar-benar selamat, kami sen-diri telah meminum air tersebut terlebih dahulu,” katanya sambil memberitahu, mereka yang meminum air tersebut ialah beliau sendiri, Menteri Muda Komunikasi Datuk Lee Kim Shin, Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Sebastian Ting dan Pengurus LAKU Wilayah Miri Lo Su Onn.

Wong berkata demikian pada sidang media di Pejabat Residen di sini semalam, selepas me-syuarat bedah siasat oleh LAKU bersama jabatan-jabatan dan agensi kerajaan berkaitan.

Mesyuarat itu dipengerusi-kan oleh Lee yang juga Penge-rusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Alam Bahagian Miri.

Menurut Wong lagi, Loji Perawatan Air Modul 4 Lambir ditutup pada jam 8.30 malam, 3 Mac lalu selepas penemuan tompokan minyak di pusat pengambilan air di Sungai Liku.

“Penutupan ini bagi memastikan tumpahan itu tidak men-cemari sistem saluran air. Kita juga menggunakan sistem ‘boswells’ semasa operasi, namun ia hanya dapat menghasilkan satu pertiga air daripada jumlah penggunaan keseluruhan kelmarin.

“Ini menyebabkan kita menghadapi kekurangan bekalan air untuk memenuhi keperluan kira-kira 300,000 penduduk di Miri dan Bekenu,” kata Wong.

Dengan bantuan Lee, operasi memulihkan bekalan air di-sertai Pasukan Bertindak Ke-cemasan (ERT) dari Petronas, Sarawak Shell Berhad (SSB), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Alam Sekitar dan Sumber Asli (NREB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Jelas Wong lagi, Loji Modul 4 dibuka semula untuk operasi pada jam 7 malam, 4 Mac dan lebih banyak air disalurkan.

“Bekalan air paip kembali pulih pada hari ini (semalam) dan penduduk yang tinggal di kawasan tinggi berkemungkinan menghadapi tekanan air rendah.

“Selain itu, beberapa kawa-san perumahan akan mendapati bekalan air paip mereka berkelodak yang berpunca dari-pada penutupan (Loji) Modul 4 sebelum ini dan bukannya berpunca daripada tumpahan itu,” katanya.

Beliau berkata, LAKU telah menghantar kakitangan me-reka untuk mengepam keluar air yang berkelodak tersebut dan keadaan dijangka pulih sepenuhnya hari ini.

Wong menasihatkan penduduk yang masih mengalami masalah kelodak agar menghubungi talian khidmat pelanggan LAKU menerusi 085-426626 atau 436626.

Dalam pada itu, LAKU me-mohon maaf kepada seluruh penduduk Miri atas segala ke-sulitan yang dihadapi sepanjang insiden tersebut.

“LAKU menghargai soko-ngan dan kerjasama yang diberikan oleh orang awam yang begitu memahami situasi yang kita hadapi. Kita juga berterima kasih kepada Datuk Lee, Residen Miri Antonio Kahti Galis, Datuk Bandar Miri Lawrence Lai, ERT, JPAM, polis, NREB, JAS dan JKR dalam membantu mengendalikan kes tumpahan minyak tersebut,” katanya.