TEGAS bakal berdepan pelbagai cabaran

0

KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak (Bumiputera) Sarawak  atau TEGAS yang dilancarkan pada Februari lalu bakal berdepan pelbagai cabaran ketika pelaksanaannya nanti.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh berkata, hasil Kajian Kecenderungan Lepasan Sekolah yang dibuat oleh Majlis Pembangunan Sumber Manusia Lepasan Sekolah pada 2010 dan 2011 mendapati cabaran dihadapi ketika pelaksanaan TEGAS ialah isu gender, minat, mobiliti bekerja dan aliran pendidikan diikuti pelajar di peringkat sekolah.

“Usaha untuk mempromosikan pendidikan teknikal dan vokasional di kalangan Bumiputera masih berliku dan mempunyai beberapa cabaran.

“Hasil kajian melibatkan 1,226 responden, 60 peratus adalah wanita dan kebanyakannya berminat untuk menyambung pelajaran dalam bidang akademik daripada teknikal.

“Oleh itu cabaran dihadapi TEGAS ialah bagaimana hendak menarik lebih ramai wanita menyertai industri-industri seperti pelancongan, makanan halal, pertanian dan akuakultur,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentang kertas kerja bertajuk ‘TEGAS: Membangun Modal Insan Sarawak’ di Kongres Ekonomi Bumiputera Sarawak Ke-6 di sini semalam.

Len Talif yang juga Menteri Muda Alam Sekitar berkata, minat pelajar yang lebih tinggi kepada akademik berbanding kemahiran ketika ini turut dilihat sebagai cabaran TEGAS dan ini menunjukkan persepsi umum terhadap pendidikan akademik memberikan jaminan pekerjaan manakala teknikal dianggap kelas kedua.

“Untuk mengubah persepsi belia Bumiputera supaya menjadikan kemahiran teknikal sebagai kerjaya pilihan utama adalah cabaran yang harus ditangani segera dan berkesan,” ujarnya.

Beliau menambah berdasarkan Kajian Kecenderungan Lepasan Sekolah itu juga, 91 peratus responden menyatakan persetujuan bekerja di mana-mana sahaja tetapi mereka tidak mahu bekerja jauh dari keluarga dan alasan utama diberikan ialah tidak dibenarkan keluarga, takut bekerja di tempat jauh serta sudah berumah tangga.

“Keengganan berjauhan dengan keluarga merupakan satu cabaran tidak kurang pentingnya perlu ditangani TEGAS jika TEGAS ingin melibatkan belia Bumiputera dalam industri-industri tenaga, besi keluli, gelas dan pembalakan yang semua industri ini tidak semestinya berdekatan dengan rumah.

“Hab Halal Tanjung Manis misalnya bukan sahaja untuk belia Bumiputera di kawasan sekitar tetapi daerah-daerah lain.

“Penglibatan Bumiputera dalam pembangunan SCORE akan menjadikan Sarawak antara negeri terkaya pada 2030, hanya akan menjadi kenyataan apabila Bumiputera berani berhijrah atau transform dari aspek mindset dan fizikal,” ujarnya.

Beliau menambah, untuk menghadapi cabaran-cabaran tersebut TEGAS telah menyenaraikan beberapa strategi mengubah minda belia Bumiputera iaitu melibatkan semua pemimpin masyarakat, mewujudkan permintaan kerja, memperhebatkan program penyebaran maklumat, membina bank data dan maklumat serta mewujudkan institusi latihan bertaraf dunia.

TEGAS dilancarkan untuk mempromosikan pendidikan teknikal dan kemahiran vokasional di kalangan belia Bumiputera khasnya yang tinggal di luar bandar, supaya kerjaya teknikal dan vokasional akan menjadi kerjaya pilihan pertama mereka pada masa depan, katanya.