Bukan penyelesaian terbaik

0

TUMPUAN: Taib menjawab pertanyaan yang diajukan pemberita selepas Majlis Penyerahan Trofi Kejohanan Tenis Junior (Gred 1) Piala Ketua Menteri di Kuching, semalam. Turut kelihatan, Presiden Persatuan Lawn Tennis Sarawak, Datuk Patrick Liew. — Gambar Bernama

Parti baharu SPDP5 akan berdepan pelbagai halangan, termasuk persetujuan BN: Taib

KUCHING: Penubuhan parti baharu bukan penyelesaian terbaik bagi lima bekas wakil rakyat Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), kata Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata, mereka sudah pasti akan berdepan dengan pelbagai halangan untuk tujuan itu, termasuk mendapatkan persetujuan daripada kesemua parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Saya tidak fikir ia idea baik (menubuhkan parti) kerana mereka akan menghadapi pelbagai halangan untuk ditangani.

“Untuk menubuhkan parti baharu, mereka juga perlu mendapat persetujuan daripada semua parti komponen BN.

“Kalau boleh, janganlah lakukan perkara ini sekiranya mahu bersama BN,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Trofi Kejohanan Tenis Junior (Gred 1) Piala Ketua Menteri (1) Ke-19 ITF di sini, semalam.

Muka depan akhbar ini pada Rabu lepas menyiarkan laporan mengenai ura-ura penubuhan sebuah parti baharu yang dipanggil Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) dan didakwa dianggotai lima bekas ahli SPDP terbabit.

Menurut sumber, permohonan telah dihantar kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) baru-baru ini dan berkemungkinan akan didaftarkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13)

Lima anggota tersebut yang digelar SPDP5 terdiri daripada Ahli Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Peter Nansian, ADUN Marudi Datuk Sylvester Entri Muran, ADUN Bekenu Rosey Yunus dan ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang.

Menurut Taib, usaha kumpulan tersebut menubuhkan Kelab BN sepatutnya dihargai kerana mereka setia dengan parti pemerintah.

“Sesuatu (penubuhan Kelab BN) yang patut dihargai. Jika anda mahu terus bersatu padu dan menyokong BN, pelbagai forum boleh digunakan termasuk terus memberi khidmat kepada rakyat di kawasan masing-masing,” ujarnya.

Dalam pada itu, Taib beranggapan SPDP menghadapi terlalu banyak masalah untuk dibiarkan kerana pada masa ini, parti itu hanya mempunyai dua sahaja ADUN selepas lima lagi meninggalkan parti.

“Ia bukan kedudukan terbaik untuk mana-mana parti,” jelasnya.

Dua ADUN itu terdiri daripada ADUN Pakan yang juga Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom dan ADUN Meluan Wong Judat.