Akur saranan tidak tubuh parti baharu

1

Bagaimanapun Nansian menegaskan agak sukar untuk kembali sertai SPDP, berdamai

KUCHING: Lima bekas wakil rakyat Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) akur dengan saranan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud agar tidak menubuhkan parti baru.

Jurucakap kumpulan terbabit, Datuk Peter Nansian Ngusie yang berkata demikian bagaimanapun menegaskan agak sukar untuk kembali menyertai SPDP dan berdamai apabila mereka telah dipecat.

“Macam mana mahu berdamai kalau pimpinan sudah pecat kami.

“Mereka (pimpinan) memang ada niat untuk membuang kami,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Taib kelmarin yang menyatakan bahawa penubuhan parti baharu bukan penyelesaian terbaik bagi lima bekas ahli SPDP.

Selain Nansian, mereka yang lain ialah Ahli Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe, Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Sylvester Entri Muran, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus dan ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang.

Nansian yang juga Menteri Muda Khidmat Masyarakat dan ADUN Tasik Biru berkata lagi, mereka juga menghargai syor Taib agar mereka bergerak menerusi Kelab Barisan Nasional.

“Biarlah seperti ini, hanya masa yang akan menentukan kerana pada masa ini terlalu awal untuk memberitahu anda (media) mengenai karier politik kami,” katanya.

Baru-baru ini Utusan Borneo melaporkan sekumpulan ahli politik sedang berusaha menubuhkan parti baharu yang dikenali Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

Penubuhan parti baharu itu dikatakan ada kaitan dengan lima bekas wakil rakyat SPDP dan kemungkinan akan didaftarkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.