KPKK anjur sesi penerangan mengenai LYNAS di Kuantan April ini: Rais

0

SUNGAI PETANI: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) akan menganjurkan satu sesi penerangan untuk menjelaskan isu kilang memproses nadir bumi Lynas yang dimanipulasi oleh pembangkang pada Program Komuniti 1Malaysia di Kuantan, bulan depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, penerangan bertujuan memberi gambaran sebenar mengenai projek itu kepada masyarakat setempat serta mematahkan dakwaan pembangkang yang telah memberi gambaran negatif mengenai Lynas.

“KPKK sedang merancang perhimpunan besar-besaran Program Komuniti 1Malaysia di Kuantan April ini dengan harapan ribuan rakyat datang untuk mendengar penjelasan kerajaan.

“Wawancara dengan penduduk di pintu gerbang kawasan binaan Lynas juga akan dibuat agar orang ramai tahu gembar-gembur projek itu memudaratkan kesihatan rakyat tidak berasas,”  kata Rais kepada pemberita selepas merasmikan program Komuniti 1Malaysia Merakyatkan Seni dan Budaya (PMS) anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz dan Pengerusi Pertubuhan Gerak Seni Warisan 1Malaysia, Adnan Abdullah Sabil.

Rais berkata, beberapa pihak khususnya pembangkang dan beberapa NGO berusaha mengambil kesempatan mempolitikkan isu tersebut sehingga mengelirukan rakyat.

“Jadi adalah wajar bagi kerajaan untk menjelaskan kepada masyarakat khususnya penduduk Kuantan mengetahui perkara sebenar agar tidak terus terpengaruh dengan pembangkang,” katanya. — Bernama

Menurutnya Gasasan 1Malaysia dan program transformasi kerajaan yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semakin mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia.

“Perubahan yang dibawa Perdana Menteri untuk kebaikan bersama. Mesej-mesej yang disampaikan makin jelas menunjukkan keikhlasan kerajaan untuk membantu rakyat. Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), program bantuan sekolah dan pelarasan gaji kakitangan kerajaan adalah contoh jelas,” tambahnya.

Pada majlis itu beliau menyampaikan komputer riba kepada 10 pelajar sekolah menengah dalam Parlimen Sungai Petani dan 25 lagi kepada NGO Seni Budaya serta sumbangan makanan kepada 20 penduduk serta dua kerusi roda. — Bernama