Program Merakyatkan Seni pupuk masyarakat cintakan seni budaya

0

MARANG: Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Terengganu dilihat berjaya memupuk kecintaan masyarakat terhadap seni budaya terutama seni silat.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri Datuk Yahya Khatib Mohamad berkata program itu antara lain bertujuan mengembalikan serta memartabatkan semula seni silat setempat untuk dihayati masyarakat terutama golongan muda.

“Seni silat telah diiktiraf oleh Perdana Menteri sebagai pasukan ketiga untuk mempertahankan negara selepas tentera dan polis,” kata kepada pemberita selepas merasmikan program PMS bagi kawasan Parlimen Marang di Dataran Pangkalan Berangan di sini semalam.

Pada program itu kira-kira 200 peserta dengan menaiki 37 buah motosikal berkuasa tinggi dan 37 buah kereta Perodua Viva berkonvoi dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang ke DUN Pengkalan Berangan dan DUN Alor Limbat sebelum berakhir di DUN Bukit Payong. — Bernama