Saturday, September 26

Keindahan Sarawak dikagumi

0

Negeri ini mempunyai tempat-tempat menarik sebagai lokasi penggambaran filem

KAGUMI SARAWAK: Aaron Aziz menjawab soalan wartawan pada sidang media semalam.

KUCHING: Pelakon terkenal Aaron Aziz mencari tawaran berlakon di negeri ini yang memiliki keindahan alam semula jadi yang cantik.

Beliau yang pernah membuat penggambaran di Kinabatangan, Sabah berkata, Sarawak mempunyai tempat-tempat yang menarik untuk dijadikan lokasi penggambaran yang tidak ada di Semenanjung Malaysia.

“Buat masa ini belum ada (tawaran) berlakon di sini, tapi saya tahu Sarawak mempunyai alam semula jadi yang sangat cantik, harap suatu hari nanti akan berlakon di sini kalau ada tawaran,” katanya.

Aaron turut meluahkan rasa teruja untuk menjelajah Sarawak.

“Banyak tempat belum pergi lagi di sini, hanya sempat tengok beberapa kawasan di sepanjang perjalanan menuju ke airport (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching),” tambahnya.

Pada masa yang sama, Aaron menyuarakan bahawa beliau tidak mengharapkan kemenangan walaupun mendapat tiga pencalonan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-25.

Aaron dicalonkan bagi kategari Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon TV Lelaki Popular dan Online.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media semasa jerayawara ABPBH di sini semalam, Aaron yang kini semakin melonjak naik hanya menyerahkan perkara itu kepada takdir.

“Saya terserah kalau hari ini saya dapat ikan dapat ikanlah, kalau hari ini dapat ‘Mango Chicken, Mango Chickenlah…saya tak mencari dan tidak mengharap terpulang kepada rezeki,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan terkininya Aaron berkata, beliau sibuk dengan penggambaran drama baharu bertajuk ‘Adam dan Hawa’ yang mempunyai 80 episod dan dijangka selesai penggambaran pada Jun akan datang.

Tambahnya, tiga filem baharu yang dilakonkannya kini menunggu untuk ditayangkan, antaranya KL Gangster II dan Taikun.

Justeru, beliau berharap filem KL Gangster II mendapat sambutan daripada rakyat negara ini.

“70 hari untuk habiskan filem itu jadi harapan agak tinggi… berat badan pun banyak turun  kerana banyak aksi bertarung.

“Datang kering balik basah, ia antara filem yang mencabar dari segi mental dan fizikal,” katanya.

Jelasnya, filem itu kemungkinan akan ditayangkan pada hujung tahun ini iaitu bulan Disember nanti.

Selain itu, beliau turut menerima tawaran berlakon dalam filem baharu di bawah KRU Production yang mempunyai banyak perbezaan berbanding filem-filem yang pernah dilakonkannya.

Jerayawara ABPBH25 disertai lapan artis antaranya Aaron Aziz, Fizz Fairuz, Tasha Shiela, Fauzi Nawawi dan Hazama.