Kes baharu HFMD turun kepada 49 kes

0

KUCHING: Kes terbaharu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Sarawak sehingga tengah malam Sabtu lepas menunjukkan penurunan drastik iaitu hanya 49 kes berbanding 103 kes sebelumnya.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Zulkifli Jantan berkata penurunan kes berlaku di Kuching (20), Samarahan (tujuh), Betong (tiada kes baharu), Sarikei (tiga), Kapit (tiada kes baharu), Bintulu (dua)dan Limbang (tiga).

Manakala di Sri Aman menampakkan peningkatan iaitu tiga kes baharu direkodkan pada tempoh sama. Di Miri, Mukah dan Sibu jumlah kes baharu kekal seperti sebelumnya.

“Jumlah keseluruhan kes HFMD di Sarawak setakat ini ialah 2,684 dan kalau dipecah mengikut bahagaian, Kuching mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 961 diikuti Bintulu (328), Samarahan (327), Miri (207), Limbang (170), Betong (161), Sarikei (140), Sri Aman (106), Kapit (105), Sibu (104) dan Mukah (75).

“Bagi kes baharu dimasukkan ke hospital semalam ialah enam iaitu tiga di Miri, dua di Kuching dan satu di Limbang, dengan itu 182 kes kesemuanya telah dimasukkan ke hospital di seluruh negeri setakat ini,” katanya.

Bagaimanapun beliau menambah tiada kematian dilaporkan berlaku dan kesemua kes juga tidak serius.

Sementara itu Dr Zulkifli berkata tiada institusi (sekolah, prasekolah dan pusat asuhan kanak-kanak) diarah tutup pada Sabtu lepas.