Libat penduduk terjejas projek hidroelektrik dalam pelancongan: DCCI

0

KUCHING: Penduduk yang terjejas akibat projek empangan hidroelektrik di hulu sungai negeri ini tidak harus ditinggalkan daripada pelan induk kerajaan untuk membangunkan industri pelancongan di kawasan mereka.

Ini adalah salah satu resolusi yang diluluskan pada mesyuarat agung tahunan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) di Hotel Grand Margherita di sini Sabtu lepas.

Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Eksekutif DCCI, Terence Temenggong Jayang menyatakan bahawa pembinaan empangan hidroelektrik bakal menyediakan potensi besar untuk ekopelancongan dan aktiviti ekonomi lain.

“DCCI memutuskan bahawa pihak berkuasa yang berkaitan, dalam pelan induk bagi kawasan terlibat, haru memberi peluang kepada masyarakat setempat menyertai secara langsung industri ekopelancongan dan sektor perniagaan yang lain bagi membolehkan mereka mendapat manfaat ekonomi daripada projek tersebut,” kata kenyataan terbabit.

Sabtu lalu mesyuarat agung DCCI dihadiri kira-kira 80 ahli yang terdiri daripada ahli perniagaan dan profesional dari Kuching sehingga Limbang dan dipengerusikan oleh Presiden DCCI Tan Sri Datuk Amar Leo Moggie.

Resolusi lain yang diluluskan adalah untuk meminta pihak berkuasa berkaitan menubuhkan kilang minyak sawit mini untuk dimanfaatkan pekebun kecil di kawasan yang tidak terdapat kilang perusahaan.

DCCI juga menyatakan masalah yang dihadapi oleh kebanyakan pekebun kecil kelapa sawit di beberapa kawasan di negeri ini yang tidak mampu menjual hasil ke kilang mengakibatkan ramai antaranya yang kehilangan pendapatan.

Resolusi lain adalah untuk meminta Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan badan-badan lain yang berkaitan menubuhkan lebih banyak pusat pembiakan anak benih getah untuk mempercepatkan bekalan benih getah kepada pekebun kecil getah di seluruh Sarawak.

Kini terdapat permintaan yang tinggi bagi benih getah kerana banyak aktiviti bersama untuk menggalakkan penanaman semula getah oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan DCCI menyokong lebih ramai pemilik tanah untuk menanam getah.