Majoriti golongan peluk Islam di Sarawak disebabkan kerelaan hati

0

TELAGA AIR: Majoriti golongan yang memeluk Islam di negeri ini adalah disebabkan kerelaan hati mereka dan bukannya perkahwinan se-mata-mata.

Menurut Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Putit Matzen, memang terdapat individu yang memeluk Islam kerana perkahwinan namun bilangannya tidak ramai.

“Perkahwinan sebahagian daripadanya (memeluk Islam) tetapi bilangannya tidak ramai di negeri ini.

“Kebanyakan disebabkan kerelaan hati dan mendapat hidayah selepas mendengar penerangan mengenai Islam,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penangguhan Konvokesyen Saudara Kita Ke-4 di sini, semalam.

Beliau berkata, setakat ini bilangan saudara kita di seluruh negeri mencecah 42,000 dengan purata yang memeluk Islam setiap tahun antara 1,000 hingga 1,500 orang.

“Apa yang uniknya sekarang ini, mereka sendiri yang datang ke pejabat dan dengan rela hati memeluk Islam,” ujarnya.

Dalam pada itu, Putit menambah, isu perebutan jenazah bagi golongan saudara kita yang meninggal dunia di negeri ini tidak pernah berlaku.

“Masalah hanya akan timbul apabila seorang yang memeluk Islam tidak mempraktikkan ajaran dengan sebaik mungkin.

“Setakat ini, memang tidak ada berlaku keluarga asal mereka (saudara kita) membantah sekiranya dikebumikan dengan cara Islam,” jelasnya.

Konvensyen yang diadakan bermula 10 hingga 12 Mac itu menyaksikan 10 resolusi dihasilkan dengan persetujuan 200 peserta.

Antara kandungan reso- lusi itu merangkumi penu-buhan Bahagian Hal Ehwal Saudara Kita di Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan mewujudkan pelan stra-tegik untuk golongan saudara kita.

Resolusi lain termasuk mewujudkan Baitul Hidayah bagi bertindak sebagai pusat sementara bagi memberikan kaunseling, kemahiran teknikal dan pencarian peluang-peluang pekerjaan kepada golongan terbabit.