PBB yakin menang kesemua 14 kerusi

0

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yakin menang kesemua 14 kerusi daripada 31 kerusi yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Timbalan Presidennya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, keyakinan itu adalah hasil perpaduan yang begitu kukuh dalam parti.

“Dalam PRU ini PBB bertanding di 14 kerusi dan Insya-Allah kesemua kerusi itu kita sapukan bersih,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan khas ‘one off’ RM3,000 kepada 220 ahli Persatuan Bekas Anggota KEMAS Malaysia (PBAKM) di sini semalam.

Empat belas kerusi itu adalah Santubong, Petra Jaya, Kota Samarahan, Mambong, Batang Sadong, Batang Lupar, Betong, Tanjung Manis, Igan, Mukah, Kapit, Sibuti, Limbang dan Lawas.

Tambahnya, untuk memastikan kemenangan itu, kestabilan politik dengan memiliki pengurusan yang baik harus dikekalkan.

“Apa yang perlu adalah untuk melaksanakan pengurusan yang baik, kestabilan politik mesti ada, alhamdulillah Sarawak mempunyai kestabilan yang begitu kukuh dari dulu sehingga sekarang.

“Kalau parti PBB alhamdulillah… perpaduan yang begitu kukuh sekali yang terbukti dalam Pilihan Raya Negeri lalu yang mana PBB 100 peratus menang di setiap kerusi ditandingi dan begitu juga kita harapkan kepada parti komponen BN yang lain,” kata Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan.

Dalam pada itu tegasnya, pembangkang pada masa ini sedang berusaha untuk membantutkan rancangan kerajaan BN dalam membangunkan negara dan rakyatnya.

“Sekarang kita berhadapan dengan orang yang nak menutup ‘cahaya’ kita, tapi untuk menerangi inilah kita berkehendakkan negara kita aman dan sentosa kerana kalau negara kita tidak aman kita tidak dapat menerangi negara kita yang menuntut kita untuk bersatu,” tegasnya l.

Selain itu, dalam usaha kerajaan menghargai pengorbanan bekas anggota KEMAS yang bertindak sebagai tulang belakang Barisan Nasional, Abang Johari memberitahu bahawa beliau akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bagi memberi bantuan khas kepada mereka.

“Saya akan berunding dengan KM untuk memberikan sedikit sebanyak bantuan kepada bekas anggota KEMAS, kalau di Melaka ada kedai, saya akan cari jalan untuk mendapatkan bantuan untuk anda semua,” katanya yang juga ADUN Satok.

Hadir sama ADUN Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Presiden PBAKM Datuk Melati Ali, Pengerusi PBAKM Sarawak Hidir Nusi dan tetamu ke-hormat lain.