Tuesday, August 20

S’wak tuan rumah Minggu Fesyen ASEAN 2012

0

INI DIA: Arwin menunjukkan program Minggu Fesyen ASEAN 2012 kepada Abang Johari sambil diperhatikan oleh (dari kiri) Rashid, Gramong dan Talib.

KUCHING: Sarawak bakal mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih sebagai tuan rumah untuk Minggu Fesyen ASEAN (AFW) 2012 yang julung kalinya diadakan dari 10 hingga 16 September akan datang.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg pada sidang media di pejabatnya di bangunan Baitulmakmur dekat sini semalam.

Beliau berkata, penganjuran AFW 2012 mendapat persetujuan daripada Sekretariat ASEAN di Jakarta dan disokong oleh Kementerian Pelancongan Sarawak serta Kementerian Pelancongan Malaysia.

“Minggu Fesyen ASEAN yang pertama ini sangat penting kepada Sarawak kerana media antarabangsa Folk International adalah media rasmi yang akan membuat liputan. Makna-nya audien juga bersifat global.

“Pada September kita juga mahu mereka yang datang menyaksi atau menyertai Minggu Fesyen ASEAN 2012 melihat acara dianjurkan dalam kalendar pelancongan Sarawak, antaranya Regata Sarawak dan sambutan Hari Malaysia,” katanya.

Menurutnya Sarawak di-pilih sebagai tuan rumah untuk AFW pertama kerana negeri ini cukup terkenal dengan studio semula jadinya dengan persekitaran semula jadi yang memang diakui ramai artis popular negara dan luar negara.

“Kementerian akan berusaha mempromosikan Sarawak sebagai venue acara bertaraf antarabangsa dengan kelebihan aset yang kita ada ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pakar Lapangan East Asia Destination Consultancy Ltd Arwin Sharma berkata, setakat ini sepuluh negara iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam telah mengesahkan penyertaan dalam program yang berlangsung selama tujuh hari enam malam itu.

Beliau berkata, buat pertama kalinya semua pereka fesyen akan bersaing merebut gelaran di atas satu pentas dengan memperagakan pelbagai koleksi fesyen.

Keunikan pertunjukan fe-syen ini, katanya model-mo-del tempatan dari Kampung Budaya Sarawak (KBS) akan digunakan untuk memperagakan fesyen yang dihasilkan oleh pereka-pereka dari 10 negara yang mengambil bahagian.

Beliau menambah, sebanyak lima anugerah akan dipertandingkan iaitu Anu-gerah Paling Berpotensi ASEAN 2012, Pereka Terbaik Tahun 2012, Jenama Fesyen Terbaik ASEAN 2012, Sekolah/Institusi Pereka Fesyen Terbaik ASEAN 2012 dan Wajah-wajah Minggu Fesyen ASEAN 2012.

“Majlis perasmian akan diadakan pada 10 September 2012 pada jam 8 malam di Hotel Hilton Kuching dan pada malam itu pertunjukan fesyen yang pertama di-adakan bertema ‘Hitam Itu Menawan’.

“Pada keesokan harinya AFW 2012 diteruskan di Damai Puri Resort & Spa dengan pertunjukan fesyen kedua diadakan pada jam 3 petang seterusnya pertunjukan fesyen ketiga pada jam 8 malam,” jelasnya.

Arwin menambah pada hari ketiga (12 September) pertunjukan fesyen keempat akan diadakan di Hotel Pullman bermula jam 8 malam diikuti pertunjukan kelima  di Pustaka Negeri pada 13 September 2012, jam 8.30 pagi seterusnya pertunjukan fesyen keenam di Hotel Hilton pada jam 4 petang.

Pada 14 September pame-ran belian dikenali  ‘Private GEMS, Diamond & Woman Affair’ di Hotel Riverside Majestic pada jam 3 petang manakala pada sebelah malamnya pertunjukan fesyen ketujuh dengan tema ‘Warna-warna ASEAN’ akan diadakan di hotel sama bermula jam 8 malam.

Acara diteruskan dengan Bengkel Minggu Fesyen ASEAN 2012 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada jam 9 pagi diikuti pertunjukan fesyen kelapan diadakan di Pustaka Negeri, pada jam 4 petang.

Pada hari sama (15 September 2012), pertunjukan fesyen diteruskan dan kali ini diadakan di Kampung Budaya Sarawak pada jam 8 malam dengan tema ‘Etnik Bergaya ASEAN’.

“Pengadilan juri akan diadakan pada jam 3 petang pada 16 September bagi menentukan pemenang-pemenang anugerah dan ia diadakan secara tertutup.

“Acara kemuncak sudah tentunya pengumuman pemenang-pemenang anugerah iaitu pada sebelah malamnya di dewan utama BCCK dengan acara dijadualkan bermula jam 7.15 malam,” tambahnya.

Beliau memberitahu keterangan lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Executing Agency di [email protected], [email protected] atau melayari laman web www.aseanfashionweek.com.

Hadir sama pada sidang media itu, kedua-dua Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip dan Datuk Gramong Juna, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak Datuk Rashid Khan serta pegawai-pegawai kanan kementerian pelancongan negeri dan Malaysia.