Usahawan Bumiputera perlu mantapkan usaha capai kemajuan

0

KURSUS: Aidel (duduk dua kanan) bersama tetamu dan para peserta Kursus Usahawan Belia di Sadong Jaya, Ahad lalu.

SADONG JAYA : Usahawan Bumiputera terutama di kawasan luar bandar perlu memantapkan usaha untuk mencapai kemajuan sejajar dengan era pembangunan pesat sekarang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo berkata, kerajaan telah menyediakan banyak peluang untuk diterokai oleh usahawan Bumiputera.

Justeru katanya, segala peluang termasuk kemudahan pinjaman kewangan dan kemahiran harus dimanfaatkan.

“Saya yakin jika golongan usahawan kita (Bumiputera) mampu mempertingkatkan usaha mereka sudah tentu kejayaan membanggakan dapat dicapai,” katanya.

Berucap merasmikan penutupan Kursus Usahawan Belia di Dewan Masyarakat Sadong Jaya di sini kelmarin (Ahad), Aidel berharap para usahawan di kawasan terbabit memanfaatkan kursus-kursus usahawan yang telah dianjurkan.

Beliau menambah, pelbagai bidang usahawan dapat diusahakan lebih-lebih lagi kawasan ini (Sadong Jaya) memiliki banyak sumber hasil mahsyulnya.

“Saya tetap akan memberi sokongan dari segi ilmu kemahiran dan mendapatkan bantuan daripada agensi-agensi terbabit dalam bidang keusahawanan,” katanya.

Kursus itu dianjurkan oleh Kejiranan Rukun Tetangga (KRT) Sadong Jaya dengan kerjasama syarikat pengeluaran produk tempatan, Sofia Enterprise dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sadong Jaya Razali Sepawi, Pengurus Sofia Enterprise Abdul Kadir Omar, Pengarah FAMA Samarahan Mohd Jobli serta dua penceramah jemputan, Den Mohd Sharif dan Sharbirin Shamsuddin.

Kursus dua hari itu diadakan sempena program Sadong Jaya Youth Fest 2012 yang dihadiri lebih 50 peserta terdiri daripada belia dan usahawan tempatan.

Ia bertujuan memberi pengalaman kepada golongan belia di kawasan terbabit menceburi bidang keusahawanan.

Aidel menarik perhatian bahawa kursus terbabit merupakan landasan terbaik buat usahawan muda (belia) meningkatkan kemahiran dalam bidang perniagaan.

“Saya percaya segala ilmu perniagaan yang diperolehi dapat digunakan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di kawasan ini,” katanya.