Monday, August 26

Zon Perindustrian Akuakultur di Lawas akan dibangun semula

0

KUCHING: Zon Perindustrian Akuakultur (ZPA) di Lawas akan dibangunkan semula untuk mengembangkan lagi industri tersebut di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu berkata, beliau telah memohon peruntukan untuk tujuan tersebut.

“Antara zon yang terlibat ialah kawasan Skim Penempatan Semula Awat-Awat, Kampung Punang dan Sundar.

“Kawasan-kawasan ini bersesuaian bagi penternakan seperti ikan siakap, ikan kerapu dan udang kerana ia mempunyai potensi semula jadi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan taklimat mengenai Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2011-2020 di sini semalam.

Bagaimanapun, Jabu yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Luar Bandar tidak mendedahkan jumlah peruntukan yang diperlukan.

Menurut Jabu, kawasan-kawasan akuakultur tersebut yang telah ditubuhkan sejak sekian lama sudah tidak relevan lagi dari segi kemudahan dan kelengkapan penternakan.

Justeru beliau berkata, ia perlu dinaik taraf dan dibangunkan semula dengan kemudahan yang moden.

Sementara itu, Jabu berkata selain kedudukan, kesesuaian alam sekitar di Lawas juga adalah faktor ia dibangunkan untuk industri akuakultur.

“Apabila Lapangan Terbang Lawas siap dalam tempoh lima tahun akan datang, ia akan menjadi laluan utama udara ke utara Sarawak.

“Malah, ia juga dekat dengan Brunei, Labuan dan Sabah…maka, pasarannya ada di sini,” kata Jabu.