Evra: United mesti pertahan kejuaraan

0

WOLVERHAMPTON, England: Patrice Evra percaya Manchester United mesti merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali ke-20 bagi mengelakkan musim yang benar-benar teruk buat mereka.

United tersingkir dari Liga Europa dengan kekalahan agregat 3-5 kepada Atletic Bilbao pada Khamis lepas dan liga sekarang merupakan satu-satunya kejohanan yang menjadi sasaran mereka.

‘The Red Devils’ sudahpun tersingkir dari Liga Juara-Juara pada pusingan pertama bagi kali ketiga dalam sejarah mereka, selepas gagal memenangi satu pun daripada empat perlawanan menentang Benfica dan Basel.

Anak-anak buah Sir Alex Ferguson turut ditewaskan oleh Liverpool pada pusingan keempat Piala FA Inggeris dan disingkirkan dari Piala Liga Inggeris oleh kelab Liga Championship, Crystal Palace di Old Trafford.

Sekurang-kurangnya prestasi mereka dalam liga selama ini cemerlang. Keputusan seri yang mereka perolehi selepas ketinggalan tiga gol untuk mencatatkan keputusan seri 3-3 di Chelsea pada Februari lalu merupakan satu-satunya perlawanan dalam liga di mana mereka gagal menang dalam lapan perlawanan sejak kalah 0-3 di Newcastle pada permulaan tahun.

Kunjungan ke kelab bermasalah Wolves malam ini (Ahad) memberi peluang buat ‘The Red Devils’ untuk melebarkan jurang kepada empat mata di hadapan kelab di tangga kedua, Manchester City yang bakal berdepan tugas getir apabila menerima kunjungan kelab yang sedang bangkit ketika ini, Chelsea pada Rabu depan.

Evra, pemain pertahanan Perancis, mendakwa United tidak mahu tidak memanfaatkan peluang yang ada untuk mempertahankan kejuaraan liga.

“Kelab besar seperti Manchester United seharusnya dapat bertanding dalam setiap pertandingan tetapi sekarang kami tidak ada pilihan, kami perlu fokus kepada liga,” katanya.

“Kami perlu memenangi liga untuk menyelamatkan musim kami. Sekiranya kami gagal memenangi liga, maka musim ini pasti benar-benar teruk bagi kami.

“Saya tidak bimbang dengan prestasi kami dalam liga kerana kami bermain baik dan sekarang berada di tempat teratas, di hadapan Manchester City.” — AFP