Tuesday, September 17
September 16

Kejohanan karate kebangsaan di Miri kurang sambutan peminat tempatan

0

MIRI: Kejohanan Karate-Do Remaja dan Kadet Kebangsaan Ke-22 yang baru berlangsung di sini semalam tidak mendapat tempat di kalangan peminat sukan seni bela diri tempatan.

Hakikat ini terbukti apabila Stadium Tertutup Miri hanya dipenuhi peserta dan sebahagian kecil penyokong pasukan masing-masing berbanding kelibat penyokong tempatan.

Utusan Borneo yang berada di lokasi pertandingan turut mendapati hanya segelintir sahaja peminat sukan karate datang untuk menyaksikan sendiri atlet yang bertanding meskipun kemasukan adalah percuma.

Meskipun Sarawak iaitu Miri menjadi tuan rumah kejohanan, kelibat warga tempatan untuk menyokong pasukan tuan rumah juga kelihatan suram dan lengang sebaliknya keriuhan hanya berlaku melalui sorakan pasukan-pasukan bertanding.

Salah seorang peserta ketika ditemui pemberita berkata meskipun tiada sokongan daripada peminat tempatan, kejohanan itu tetap berjalan lancar dan atlet mampu mempamerkan kemahiran masing-masing selepas beberapa bulan mengadakan latihan.

“Ini adalah kali pertama saya datang ke sini dan kejohanan bertaraf kebangsaan ini sememangnya menjadi batu loncatan kepada kami untuk menjadi atlet profesional,” katanya kepada Utusan Borneo.

Peserta terbabit yang mewakili salah satu persatuan karate dari Semenanjung Malaysia bagaimanapun memuji pihak penganjur kerana melayan semua pasukan dan atlet dengan baik.

“Meskipun stadium tidak dipenuhi penonton, kami sebagai peserta tetap bersemangat untuk bertanding kerana kami bukan bertanding kerana penonton tetapi kerana sukan ini menjadikan kami lebih berdisplin dan keyakinan tinggi,” jelasnya.

Sementara itu, lebih 400 atlet berkampung di Miri selama dua hari sempena kejohanan itu dan ia adalah julung kali dianjurkan di luar Semenanjung Malaysia dengan menjadikan Miri sebagai lokasi kejohanan.

Kontinjen Pulau Pinang menunjukkan kehebatan mereka apabila berjaya menggondol enam emas dalam acara kata individu dan berpasukan semalam.

Pasukan tuan rumah, Sarawak pula hanya sekadar memungut pingat gangsa dalam acara wanita berpasukan dan lelaki berpasukan pada acara kata.