Thursday, September 19

Latihan sukan perlu mula dari sekolah

0

KUCHING: Latihan sukan perlu bermula dari bangku sekolah lagi dan ia perlu dilaksanakan secara sistematik, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Beliau berkata latihan yang sistematik serta terancang di peringkat sekolah penting dalam menyediakan bakat-bakat sukan sebelum diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Di sekolah terdapat ramai guru pembimbing, fasilitator dan jurulatih yang mempunyai pelbagai kebolehan dan kelayakan untuk didedahkan kepada pelajar berpotensi.

“Justeru, latihan terancang dan terkawal bagi para atlet hendaklah dilakukan secara sedar (aktif) agar bakat tidak terbiar dan potensi tidak luntur sebelum sempat berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Kejohanan Bola Tampar Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2012 di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, petang semalam.

Menurut Fatimah, selain latihan sukan secara sistmatik, pemasyarakatan serta pembudayaan sukan juga merupakan elemen penting di kalangan para pelajar.

“Apabila kita membudayakan atau memasyarakatkan sukan, kita sebenarnya ke arah membentuk warga yang sihat dan seimbang perkembangan dan pertumbuhannya,” tegas beliau.

Sementara itu Pengarah Pelajaran Negeri, Abdillah Adam dalam ucapannya berkata kejohanan bola tampar berkenaan dianjurkan selama enam hari bermula pada 12 hingga 17 Mac, yang membabitkan empat venue.

Ia termasuk Stadium Tertutup Datuk Kadawa, Stadium Samarahan, Stadium Tertutup MBKS dan Stadium Tertutup Sesco.

“Sebanyak 15 kontinjen membabitkan 660 pelajar bertanding dalam empat kategori iaitu bawah 12 dan 18 tahun lelaki dan perempuan selain 221 pegawai,” katanya.

Perlawanan akhir kategori lelaki bawah 18 tahun semalam menyaksikan Selangor menang setelah menumpaskan pasukan tuan rumah, Sarawak dalam pertarungan sengit empat set iaitu 25-23, 25-23, 23-25 dan 25-15.