Ada individu jual dokumen sijil banci kepada PTI

0

 

ABDUL Aziz menunjukkan salah satu dokumen sijil banci yang digunakan oleh PTI di negeri ini.

KOTA KINABALU:  Pasukan Petugas Khas Persekutuan Sabah dan Labuan (PPKP S/L) yang menjalankan ‘Operasi Tanduk’ di sekitar negeri ini mengesan terdapat individu yang mengeluarkan dokumen sijil banci kepada warga asing tanpa izin (PTI) dengan bayaran antara RM400 hingga RM2,500.

Ketua Penolong Pengarah PPKP S/L, Abdul Aziz Alwe berkata sijil banci yang dikeluarkan oleh individu berkenaan adalah bagi membolehkan sesetangah PTI memohon menjadi penduduk sementara di negeri ini sekaligus menggunakan dokumen yang tertera logo PPKP S/L dan Jabatan Imigresen berkenaan untuk bergerak bebas di negeri ini.

“Berdasarkan ‘Operasi Tanduk’ yang dilancarkan PPKP S/L bermula dari Januari hingga Mac tahun ini, beberapa tangkapan dilakukan mendapati ada PTI menggunakan dokumen sijil banci dengan logo PPKP S/L dan Jabatan Imigresen, bagi bergerak bebas di negeri ini.

“Ini sangat menghairankan kerana dokumen sijil banci berkenaan sudah tidak dikeluarkan berikutan telah diberhentikan sejak 1996,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Mini Puterajaya, di sini, kelmarin.

Abdul Aziz berkata, hasil Operasi Tanduk yang dilancarkan di beberapa daerah di Sabah antaranya Keningau, Kunak, Sandakan, Tawau dan Papar, terdapat PTI yang ditahan menunjukkan dokumen sijil banci dan mereka mendakwa telah membeli sijil banci terbabit daripada beberapa individu.

“Kita telah minta mereka (PTI) supaya mendapatkan dokumen secara sah untuk masuk ke negeri ini dan tidak terpangaruh dengan individu yang mengeluarkan dokumen berkenaan.

“Ini kerana, ianya bukan sahaja menjadi satu kesalahan dan tindakan boleh diambil ke atas mereka, malah merugikan kerana terpaksa membayar wang untuk mendapat dokumen berkenaan, namun sebaliknya dokumen itu tidak diperakui penggunaannya,” katanya.

Sementara itu, dalam Operasi Tanduk yang dilancarkan sejak Januari hingga Mac tahun ini seramai 3,699 orang diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 1,217 ditahan dan semua dibawa ke Pusat Tahanan Sementara di seluruh Sabah.

“Daripada pecahan itu, sebanyak 77 peratus adalah golongan dewasa dan 23 peratus adalah kanak-kanak. Majoriti yang ditahan dalam operasi itu adalah daripada negara Filipina sebanyak 73 peratus, Indonesia (26 peratus), dan lain-lain (1 peratus).

“Operasi Tanduk akan diteruskan dan setakat ini sebanyak sembilan operasi tanduk sudah dilancarkan di beberapa daerah di negeri ini dan kita merancang akan mengadakan sebanyak 24 operasi di seluruh daerah di negeri  ini,” katanya.