Indeks Prestasi Alam Sekitar M’sia antara terbaik di dunia

0

PUTRAJAYA: Malaysia berjaya mencatat kedudukan terbaik dalam Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI) apabila diiktiraf sebagai negara ketiga terbaik di rantau Asia Pasifik dan 25 terbaik daripada 132 negara seluruh dunia tahun lalu.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Douglas Uggah Embas menjelaskan, antara aspek yang dinilai adalah perubahan iklim, pertanian, perikanan, perhutanan, pencemaran air dan pencemaran udara yang memberi kesan kepada hidupan.

“Kedudukan EPI negara pada tahun 2010 pula pada kedudukan 54 di kalangan 163 negara seluruh dunia dan keenam di rantau Asia Pasifik.

“Di rantau Asia Pasifik, New Zealand berada di tempat teratas, diikuti Jepun sebelum Malaysia manakala pada peringkat dunia, EPI Malaysia berada setaraf dalam kumpulan negara berprestasi EPI terbaik setanding Jerman, Iceland, Finland, Denmark, Belgium dan Jepun”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan sambutan ulang tahun keempat kepimpinan beliau yang berlangsung di Wisma Sumber Asli, di sini semalam.

Tambahnya, prestasi Malaysia berada pada kedudukan amat baik daripada segi kesan udara kepada kesihatan manusia iaitu 97.3 peratus, pertanian (95 peratus) dan biodiversiti serta habitat (90.1 peratus).

Selain itu katanya, kementerian telah berjaya menjadi salah satu kementerian yang berjaya menyelesaikan 100 peratus aduan yang diterima melalui Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri bagi tahun 2011.

“Pengurusan aduan yang cekap adalah amat penting bukan sahaja bagi tujuan penyelesaian masalah berkaitan dengan kementerian dan jabatan yang dihadapi oleh orang ramai bahkan ia boleh dijadikan garis panduan bagi meningkatkan lagi mutu penyampaian perkhidmatan kita,” kata Uggah.

Dalam majlis perhimpunan itu, Uggah turut mengingatkan warga kerja kementerian supaya meneliti semula semua program, kempen dan dasar yang telah dibuat untuk memastikan keberkesanan dan kejayaannya.

Antara program itu, Rakan Alam Sekitar, Kempen Menanam 26 Juta Pokok, Dasar Mineral Negara 2 (DMN2), Dasar Perubahan Iklim Negara, NRE goes Green dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Itulah cabaran kita di NRE sebab semua program, dasar dan kempen kita berdasarkan pada ’outcome’ dan menjadi tanggungjawab kita semua untuk melaksanakannya dengan penuh komitmen, integriti dan kebijaksanaan kita”, ujarnya.

Menyentuh mengenai program tahun ini pula, Uggah berkata pihak kementerian telah merancang dua sambutan penting iaitu sambutan Hari Hutan Sedunia yang berlangsung di Perak semalam dan sambutan Hari Air Sedunia yang akan berlangsung di Pusat Eko-Pelajaran Hutan Paya Laut Matang, Taiping, Perak, Sabtu ini.